WILMOTS (kanan) bersama Mahdi melawat Stadium Azadi di Tehran baru-baru ini. — FOTO Agensi
WILMOTS (kanan) bersama Mahdi melawat Stadium Azadi di Tehran baru-baru ini. — FOTO Agensi
AFP

BEKAS pengurus Ivory Coast dan Belgium, Marc Wilmots menandatangani kontrak di Brussels awal pagi tadi untuk menjadi jurulatih Iran selepas rundingan panjang.

“Kontrak itu ditandatangani di kediaman duta (Iran) antara Wilmots dan Mahdi Taj (presiden persekutuan bola sepak Iran),” menurut seorang diplomat di kedutaan.

Bekas penyerang Belgium itu berkunjung ke Iran awal bulan ini dan sepatutnya menandatangani kontrak bernilai AS$1.2 juta (RM5.03 juta) setahun di Tehran.

Bagaimanapun pengendali berusia 50 tahun itu yang beraksi 70 kali bersama negaranya kembali ke Belgium tanpa sebarang persetujuan.

IRAN (jersi putih) tewas kepada Jepun pada separuh akhir Piala Asia di UAE. — FOTO Agensi
IRAN (jersi putih) tewas kepada Jepun pada separuh akhir Piala Asia di UAE. — FOTO Agensi

Laporan berita Iran menyebut penangguhan itu disebabkan kesukaran membabitkan “pindahan bank.”

Diplomat itu mengesahkan kontrak itu berakhir hingga Piala Dunia 2022 di Qatar.

Wilmots mengambil alih daripada jurulatih dari Portugal, Carlos Queiroz yang meletak jawatan selepas lapan tahun Januari lalu susulan kekalahan 0-3 Iran pada separuh akhir Piala Asia di tangan Jepun.

Queiroz mengemudi Iran ke dua pusingan akhir Piala Dunia dan menyambung kontraknya hingga 2019 selepas kejohanan di Russia tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 11:35 AM