WILMOTS (kanan) dan Mehdi Taj ketika melawat kem latihan pasukan Iran di Tehran. FOTO AFP
WILMOTS (kanan) dan Mehdi Taj ketika melawat kem latihan pasukan Iran di Tehran. FOTO AFP
AFP

BEKAS pengurus Ivory Coast dan Belgium Marc Wilmots meninggalkan Iran tanpa menandatangani sebarang kontrak untuk melatih pasukan bola sepak negara itu, lapor agensi berita ISNA hari ini.

Bekas penyerang Belgium itu tiba pada Rabu dan dijangka menandatangani kontrak bernilai AS$1.2 juta (RM5.02 juta) setahun sehingga tamat Piala Dunia 2022.

Pengendali berusia 50 tahun yang 70 kali mewakili negaranya ‘menilai kemudahan bola sepak Iran dan berbincang dengan Mehdi Taj’, presiden persekutuan bola sepak Iran, lapor ISNA.

Dia meninggalkan Iran malam tadi selepas menonton final liga profesional Iran di antara Persepolis F.C. dan Pars Jonoubi Jam.

“Jika kedua-dua pihak mencapai persetujuan, Wilmots akan kembali ke Iran untuk menandatangani kontrak dan memulakan tugasnya,” kata ISNA.

Wilmots dijangka menggantikan jurulatih Portugal Carlos Queiroz yang meletak jawatan selepas lapan tahun bersama skuad itu pada Januari, selepas Iran tersingkir daripada Piala Asia apabila tewas 0-3 kepada Jepun.

Beliau membawa Iran ke dua edisi pusingan akhir Piala Dunia dan melanjutkan kontraknya sehingga 2019 selepas kejohanan di Russia tahun lalu.

Wilmots mengemudi Belgium ke Piala Dunia 2014 sebagai jurulatih mereka dari 2012 hingga 2016.

Beliau kemudiannya mengendalikan Ivory Coast namun meninggalkan mereka selepas gagal membantu pasukan Afrika Barat itu ke Piala Dunia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 5:39 PM