GUARDIOLA (kiri) dan penolong jurulatih Mikel Arteta meraikan kemenangan di Stadium Etihad, Manchester, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
GUARDIOLA (kiri) dan penolong jurulatih Mikel Arteta meraikan kemenangan di Stadium Etihad, Manchester, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

PEP Guardiola menegaskan kejayaan Manchester City memenangi Liga Perdana Inggeris 2018/19 adalah kejuaraan paling sukar dalam karier pengurusannya yang penuh gemilang.

City bangkit sebelum menang 4-1 di Brighton malam tadi pada hari terakhir musim – bermakna juara bertahan itu berakhir hanya satu mata di depan pasukan tangga kedua Liverpool, yang menang 2-0 di laman sendiri ke atas Wolves.

Bagi kebanyakan musim, jumlah kutipan 97 mata Liverpool akan menyaksikan mereka dinobat sebagai juara.

Guardiola, yang meraikan kejuaraan domestik kelapan dalam 10 musim yang termasuk kejuaraan La Liga dan Bundesliga bersama Barcelona dan Bayern Munich, tidak meragui mengenai kualiti Liverpool.

GUARDIOLA dijulang pemainnya selepas mempertahankan kejuaraan Liga Perdana di Stadium Amex, Brighton, malam tadi. — FOTO EPA
GUARDIOLA dijulang pemainnya selepas mempertahankan kejuaraan Liga Perdana di Stadium Amex, Brighton, malam tadi. — FOTO EPA

“Kami bekerja keras,” katanya. “Saya perlu mengucapkan tahniah kepada Liverpool. Terima kasih banyak-banyak. Mereka membantu menekan kami dan meningkatkan tahap kami berbanding musim lalu.

“Untuk bersaing menentang pasukan ini yang menekan kami melakukan apa yang kami lakukan. Ia menakjubkan, 198 mata dalam dua musim.

“Saya fikir musim lalu Manchester City sudah meletak satu tanda aras,” kata Guardiola. “Itulah tahap Liga Perdana dan Liverpool membantu kami untuk berada di sana sepanjang masa.”

Anak buah Guardiola mengumpul 100 mata untuk memenangi kejuaraan musim lalu namun pengurus itu lebih kagum dengan usaha mereka musim ini, sekalipun jumlah pungutan mata kurang sedikit.

GUARDIOLA menjulang trofi selepas mengalahkan Brighton 4-1 di Stadium Amex, malam tadi. — FOTO EPA
GUARDIOLA menjulang trofi selepas mengalahkan Brighton 4-1 di Stadium Amex, malam tadi. — FOTO EPA

“Untuk memenangi kejuaraan kami terpaksa menang 14 perlawanan berturut-turut,” jelasnya.

“Bagi dua hingga tiga bulan terakhir kami tidak boleh tercicir satu mata dan kami lakukannya ketika bermain dalam semua pertandingan hinggalah separuh akhir Liga Juara-Juara.

“Ia menakjubkan. Biasanya bila anda dapat 100 mata kecenderungannya akan jatuh tapi Liverpool membantu kami untuk konsisten.

“Inilah kejuaraan paling sukar sepanjang karier saya.”

PEMAIN Manchester City meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana. — FOTO Reuters
PEMAIN Manchester City meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana. — FOTO Reuters

Namun Guardiola berkata, musim depan mungkin lebih kompetitif.

“Ia dijangka lebih sukar tapi kami juga akan semakin kuat,” katanya.

“Apabila anda boleh menang dua kali berturut-turut, saya berasakan musim depan kami akan kembali dan cuba untuk terus berada di mana kami sekarang.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 7:50 AM