KLOPP (kiri) bersama legenda Liverpool, John Barnes selepas perlawanan di Anfield malam tadi. — FOTO Reuters
KLOPP (kiri) bersama legenda Liverpool, John Barnes selepas perlawanan di Anfield malam tadi. — FOTO Reuters
AFP

JUERGEN Klopp berazam musim ini hanyalah “langkah pertama” buat Liverpool ketika beliau mengucapkan tahniah kepada Manchester City kerana mengatasi pasukannya bagi kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Liverpool mengalahkan Wolves 2-0 di Anfield malam tadi susulan dua gol Sadio Mane, namun City bangkit daripada ketinggalan untuk menang 4-1 di Brighton dan mengekalkan kejuaraan dengan perbezaan satu mata.

Ia bermakna Liverpool menamatkan musim dengan 97 mata, kutipan mata ketiga terbanyak dalam sejarah Liga Perdana, namun gagal memastikan kejuaraan pertama liga utama Inggeris sejak 1990.

“Tahniah kepada Manchester City,” kata bos Liverpool, Klopp kepada BBC. “Kami cuba sedaya mungkin untuk menyukarkan lawan tapi ia tidak cukup. Saya tetap bangga dengan anak buah saya.

MANE melambai kepada penonton selepas menerima Kasut Emas dikongsi bersama Salah dan Aubameyang. — FOTO EPA
MANE melambai kepada penonton selepas menerima Kasut Emas dikongsi bersama Salah dan Aubameyang. — FOTO EPA

“Satu pencapaian menakjubkan apa yang kami lakukan sepanjang musim dan hari ini situasinya pelik. Kami amat bagus hingga 1-0, apa yang berlaku selepas itu jelas. Anda tidak boleh memberitahu mereka supaya tenang.”

City ketinggalan selama 83 saat selepas tandukan Glenn Murray pada babak pertama buat Brighton, seketika meletakkan Liverpool dua mata di puncak liga, namun anak buah Pep Guardiola bangkit sebelum menang dengan mudah.

“Ketika itu (apabila penyokong Liverpool meraikan gol Brighton) ia kejutan buat setiap orang begitu juga pemain Wolves,” ujar Klopp.

“Kami perlu berjuang. Akhirnya kami menjaringkan dua gol dan tidak dibolosi. Ia bagus tapi tidak seperti yang kami mahukan.

“Jelas kami perlu bekerja keras begitu juga City. Sasaran kami sepanjang minggu adalah meraih 97 mata, kami berjaya – ia istimewa. Kami mahu melakar sejarah sendiri dan ternyata kami melakukannya.

“Hari ini berasa tidak begitu bagus tapi kami ada cukup masa untuk bersedia bagi perlawanan penting tiga minggu lagi (final Liga Juara-Juara).”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 8:24 AM