JAMIE Vardy meneruskan rekod cemerlangnya di depan pintu gol ketika Leicester City menewaskan Brighton 2-0 bagi kemenangan kelima berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, malam tadi.
Selepas gagal memecah kebuntuan menerusi 11 percubaan tepat di Stadium Amex, Leicester kembali selepas rehat menghukum Brighton dua kali dan kekal di tangga kedua dengan 29 mata, lapan mata di belakang Liverpool.
Ayoze Perez, yang mana tiga gol terakhir liga buat Leicester hadir ketika membenam Southampton 9-0 bulan lalu, membuka tirai jaringan dari jarak dekat pada minit ke-64 selepas Vardy memecah benteng menerusi sayap kanan.
Vardy kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada percubaan kedua bagi gol ke-12 kempen liga pada minit ke-82.
Percubaan pertama penyerang Inggeris itu diselamatkan namun sepakan bola muntah James Maddison dibatalkan VAR kerana gangguan kedua-dua pasukan.
“Kami sedar ia sukar,” kata Vardy. “Separuh masa kedua kami bermula agak lembap tapi kami berjaya membaikinya selepas itu.
“Saya sering kali menyatakan anda menikmati bola sepak anda apabila anda mempamerkan persembahan terbaik. Cara terbaik untuk berseronok dengan bola sepak adalah memenangi perlawanan.”