MILNER (kiri) yakin peluang Reds lebih cerah musim ini. — FOTO premierleague.com
MILNER (kiri) yakin peluang Reds lebih cerah musim ini. — FOTO premierleague.com
Reuters

KEJAYAAN menjulang Liga Juara-Juara musim lalu menguatkan keyakinan pemain dan mereka percaya mampu memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini, menurut pemain tengah Liverpool, James Milner.

Liverpool menumpaskan Tottenham Hotspur 2-0 pada final Liga Juara-Juara, Jun lalu dan ia trofi pertama kelab itu sejak dikendalikan Juergen Klopp selain mengakhiri Liga Perdana di tangga kedua, ketinggalan satu mata di belakang Manchester City.

Ketika ini, anak buah Klopp mendahului saingan dengan kelebihan enam mata dan Milner berharap pengalaman memenangi saingan elit Eropah membantu mereka menamatkan kemarau gelaran liga yang sudah menjangkau 30 tahun.

“Tahun ini, kami mempunyai pasukan yang mampu melakukannya,” kata Milner kepada akhbar Guardian.

“Saya rasa pasukan kami lebih tenang, tidak kira dalam mahupun luar padang dan ramai percaya kami mampu melakukannya.

JORDAN Henderson pencetus kebangkitan Liverpool di Anfield, Ahad lalu. — FOTO premierleague.com
JORDAN Henderson pencetus kebangkitan Liverpool di Anfield, Ahad lalu. — FOTO premierleague.com

“Saya harap kejayaan memenangi trofi pertama itu - Piala Eropah - akan memberikan kami kekuatan serta keyakinan untuk memenangi liga.”

Liverpool muncul juara liga buat kali terakhir pada 1990 dan Milner berkata, pasukannya menjangkakan saingan sengit sekali lagi musim ini.

“City pasukan yang bagus dan mereka mampu menang semua perlawanan,” kata pemain berusia 33 tahun itu.

“Jurang antara dua pasukan ini tidak besar dan kami perlu terus memberi tekanan selain tidak terlalu memikirkan soal gelaran.

“Beberapa keputusan buruk pasti akan terjadi dan dengan jumlah aksi yang kami harungi, pasti ada pemain yang cedera. Ia mungkin mendorong keputusan buruk buat kami. Itulah sebabnya mengapa memenangi liga sesuatu yang amat istimewa.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 6:21 PM