KOEPKA membuat pukulan dari fairway lubang ke-17 pada pusingan pertama Masters AS. — FOTO EPA
KOEPKA membuat pukulan dari fairway lubang ke-17 pada pusingan pertama Masters AS. — FOTO EPA
AFP

BROOKS Koepka dan Bryson DeChambeau memukau penonton di Augusta National awal pagi tadi, mencatat enam bawah par 66 untuk berkongsi sebagai pendahulu bersama dengan satu pukulan di depan Phil Mickelson selepas pusingan pertama kejohanan Masters AS.

Beberapa jam selepas juara 14 kejohanan utama Tiger Woods menceriakan penonton dengan seketika berada di puncak pendahulu, Koepka mengungguli lapangan ternama itu dengan lima birdie dalam enam lubang untuk mendahului berseorangan dalam carta yang seketika menyaksikan sembilan pemain terikat.

Namun DeChambeau turut mempunyai jawapan dengan empat birdie berturut-turut – dan enam birdie dalam tujuh lubang terakhirnya.

Mickelson, juara Masters tiga kali yang pada usia 48 tahun mungkin menjadi pemenang tertua kejohanan utama, bersaing dengan pendahulu berusia 20-an dengan lima birdie dalam tujuh lubang terakhir bagi lima bawah par 67.

GALERI yang mengikuti permainan Woods pada pusingan pertama di Augusta National. — FOTO AFP
GALERI yang mengikuti permainan Woods pada pusingan pertama di Augusta National. — FOTO AFP

Ia menyamai catatan pusingan pertamanya pada 2010 - tahun yang mana Mickelson meraih jaket hijau kali ketiga.

Dia hampir melakukan ‘ace’ lubang ke-16 par-tiga dan birdie pada lubang ke-18 membolehkan Mickelson berada satu pukulan di depan Ian Poulter, 43, dan Dustin Johnson, 34, yang berkongsi tangga keempat dengan 68.

Bekas juara Adam Scott dari Australia, pemain Sepanyol, Jon Rahm, pemain Thailand, Kiradech Aphibarnrat, pemain Afrika Selatan, Justin Harding dan pemain Amerika Syarikat, Kevin Kisner satu pukulan lagi di belakang dengan tiga bawah par 69 manakala Woods mengetuai kelompok besar dengan 70.

Koepka, pemenang Terbuka AS dua tahun berturut-turut di samping memenangi Kejuaraan PGA tahun lalu, tidak melakukan kesilapan.

“Saya tak mahu katakan saya seperti lupa segala-galanya, tapi saya langsung tidak memikirkan mengenai apa-apa,” katanya.

“Saya hanya menjadikannya sebagai reaksi sukan. Saya lihat pukulan sendiri dan berdepan apa saja yang saya tempuhi lakukannya dengan sebaik mungkin.

“Ia kelihatan seperti tempoh sejam tapi sebenarnya ia berakhir dalam jangka masa kira-kira lima, 10 minit.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 11:30 AM