Saiful Affendy Sapran


MESKIPUN sekadar muncul naib juara Seluruh England, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui kejohanan itu membuka lanskap baru buat mereka.

Bagi Wooi Yik, kejohanan berprestij itu memberinya pengajaran berharga terutama bagaimana untuk mengawal emosi dan terus konsisten apabila beraksi pada kejohanan besar.

“Setiap kali turun beraksi di sana, kami mempelajari banyak perkara baru. Semua yang kami lalui di sana memberi tambahan motivasi kepada kami untuk bertindak lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, malam ini.

Aaron pula berkata, status naib juara Seluruh England menuntut mereka supaya lebih bekerja keras selepas ini.

“Kami perlu terus menjalin kerjasama yang baik dengan jurulatih dan rakan sepasukan. Kami juga perlu berfikiran lebih jauh.

AARON (kanan) dan Wooi Yik sejurus tiba di KLIA malam ini. — FOTO BERNAMA
AARON (kanan) dan Wooi Yik sejurus tiba di KLIA malam ini. — FOTO BERNAMA

“Soal siapa gandingan lebih hebat dalam pasukan negara tidak penting.

“Sebab bagi kami yang penting adalah dapat mengatasi lawan dari negara lain,” katanya.

Aaron-Wooi Yik terlepas kejuaraan Seluruh England selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-11, 14-21, 12-21 di Birmingham, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 12:07 AM