AARON-Wooi Yik dapat kemenangan percuma daripada beregu Indonesia pada pusingan kedua. — FOTO Syarafiq Abd Samad
AARON-Wooi Yik dapat kemenangan percuma daripada beregu Indonesia pada pusingan kedua. — FOTO Syarafiq Abd Samad
Ferzalfie Fauzi


NAIB juara Seluruh England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperoleh kemenangan berganda hari ini pada Kejohanan Badminton Asia apabila mereka bukan saja melepasi pusingan pertama tapi layak terus ke suku akhir.

Pada aksi di Wuhan, China, Aaron-Wooi Yik menumpaskan beregu Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-15, 19-21, 21-17 dan sepatutnya berdepan pilihan keempat dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada pusingan kedua esok.

Bagaimanapun, beregu nombor empat dunia itu terpaksa menarik diri apabila Hendra demam selepas mereka menumpaskan Liao Min Chun-Su Ching Heng dari Taiwan 21-15, 21-16.

“Ia satu berita baik dan menaikkan motivasi kami (apabila layak terus ke suku akhir), selepas kali pertama beraksi di Kejohanan Asia. Bagaimanapun, kami harap tidak ada yang buruk berlaku kepada pasangan Indonesia itu.

SONIIA turut mara ke pusingan kedua di Wuhan. — FOTO Syarafiq Abd Samad
SONIIA turut mara ke pusingan kedua di Wuhan. — FOTO Syarafiq Abd Samad

“Bagi kami ini satu peluang keemasan dan kami bersedia untuk berdepan aksi suku akhir Jumaat ini,” kata Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik akan menentang pemenang antara Kang Min Hyuk-Kim Won Ho dari Korea Selatan atau beregu China, Liu Cheng-Zhang Nan.

Turut mara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mengalahkan Lin Shang Kai-Tseng Min Hao dari Taiwan 21-12, 21-12, manakala Arif Latif-Azriyn Ayub pula menumpaskan Inkarat Apisuk-Tanupat Viriyangkura dari Thailand 21-14, 21-10.

Nasib berbeza buat Goh V Shem-Tan Wee Kiong, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, apabila mereka kalah di tangan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 15-21, 21-11, 8-21.

Dua perseorangan wanita negara pula mengalami nasib berbeza menentang pemain Indonesia pada pusingan pertama apabila Soniia Cheah mara selepas menumpaskan Fitriani 21-12, 21-10 manakala Lee Ying Ying kalah di tangan Choirunnisa 17-21, 15-21.

Beregu wanita negara, Anna Cheong-Lim Chiew Sien mara selepas menyingkirkan Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto dari Indonesia 21-10, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 8:40 PM