Jurulatih Ajax, Erik Ten Hag (dua dari kanan) memperkatakan sesuatu kepada pemain ketika sesi latihan di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid. FOTO EPA.
Jurulatih Ajax, Erik Ten Hag (dua dari kanan) memperkatakan sesuatu kepada pemain ketika sesi latihan di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid. FOTO EPA.
Reuters

JURULATIH Ajax Amsterdam, Erik ten Hag berharap pasukannya dapat memanfaatkan peluang ketiadaan Sergio Ramos akibat penggantungan seterusnya bangkit dalam saingan Liga Juara-Juara, pagi esok.

Kapten Real, Ramos menerima kad kuning di hujung permainan ketika pasukan itu menang 2-1 dalam perlawanan pertama kelompok 16 terakhir di Amsterdam dan digantung bagi perlawanan timbal balik di Bernabeu awal pagi Rabu.

Ramos turut digantung satu lagi perlawanan membabitkan saingan di Eropah selepas UEFA mendapati dia memperolehi kad kuning itu dengan sengaja.

Nacho Fernandez kemungkinan besar mengganti tempat Ramos dalam barisan utama Madrid bersama gandingan Raphael Varane di bahagian pertahanan.

“Ia adalah tamparan besar buat Real Madrid. (Luka) Modric dan Toni Kroos adalah nadi di barisan tengah namun Ramos adalah tonggak utama pertahanan dan tanpa pemain itu sudah pastinya sedikit sebanyak mengganggu fizikal dan mental pasukan.” kata Ten Hag.

“Sudah pasti mereka mahu memenangi trofi pada musim ini dan ini adalah peluang terakhir mereka. Hanya dalam saingan Liga Juara-Juara mereka boleh memenangi sesuatu dan ia pastinya mengubah sikap mereka di padang.

“Pemain kami juga bercita-cita besar dan mereka akan bersaing untuk mara dalam setiap kejohanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 2:46 PM