ERIK TEN HAG
ERIK TEN HAG
Reuters

AJAX Amsterdam percaya peluang mereka masih ada dalam Liga Juara-Juara meskipun terikat 1-1 di laman sendiri oleh Juventus dalam aksi pertama suku akhir awal pagi tadi.

Penyerang Portugal Cristiano Ronaldo memberikan kelab Itali itu mata pendahuluan sebelum David Neres menyamakan kedudukan 30 saat selepas separuh masa kedua.

“Keputusan seri 1-1 di laman sendiri bukanlah apa yang kami harapkan tetapi ia masih keputusan yang bagus,” kata jurulatih Ajax, Erik ten Hag.

“Sebelum ini kami tewas 1-2 di laman sendiri kepada Real Madrid, jadi kami masih berpeluang.”

Ajax menyingkirkan juara bertahan Real dalam aksi 16 terakhir dengan kemenangan 4-1 di tempat lawan pada perlawanan kedua, selepas tewas di laman sendiri dan kelab Belanda itu berhasrat mencipta satu lagi kejutan di Turin awal pagi Rabu depan.

“Kami memiliki pasukan yang berpotensi dan berjaya membuktikannya dalam Liga Juara-Juara. Bukan mudah untuk mara ke suku akhir,” kata kapten Matthijs de Ligt.

“Dalam perlawanan timbal balik kami perlu memberikan segala-galanya kerana Juventus memang sukar ditewaskan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:29 PM