Pemain Lazio Romulo (kiri) dan AC Milan Fabio Borini wanan pertama separuh akhir Piala Itali, di Rome, pagi ini. FOTO EPA.
Pemain Lazio Romulo (kiri) dan AC Milan Fabio Borini wanan pertama separuh akhir Piala Itali, di Rome, pagi ini. FOTO EPA.
AFP

AC Milan terikat 0-0 bertemu Lazio dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Itali, di Rome, pagi ini, yang menyaksikan tuan rumah mensia-siakan deretan peluang menjaringkan gol.

Pemenang edisi 2013, Lazio memperoleh beberapa peluang untuk menjaringkan gol, termasuk sepakan Ciro Immobile pada separuh masa kedua namun pastinya melegakan pasukan kendalian Gennaro Gattuso pada perlawanan timbal balik di San Siro nanti.

“Apa yang dikesalkan ialah kami gagal menjaringkan gol,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi.

“Apa yang kami tidak dapat hanyalah gol. Tetapi pemain tampil dengan persembahan yang hebat, kami sentiasa fokus menentang Milan yang memiliki prestasi yang baik dalam Serie A ketika ini.”

Perlawanan pada awal permainan agak hambar dengan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan gol, Lucas Paqueta mempunyai peluang menjaringkan gol ketika berada di dalam kawasan kotak penalti lawan namun gagal disempurnakan dengan kemas oleh pemain itu.

Tuan rumah kemudian menguasai permainan selepas itu dengan beberapa cubaan yang harusnya dimanfaatkan tepat.

Patric, Immobile dan Sergej Milinkovic-Savic di dalam kawasan petak penalti berjaya dihalang penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma.

Selepas sejam perlawanan berlangsung, tuan rumah dinafikan sepakan penalti oleh pengadil apabila Immobile ditolak oleh Alessio Romagnoli tetapi kedudukannya ketika itu ofsaid.

Pemain Serbia, Milinkovic-Savic akhirnya memperolehi peluang melakukan rembatan tepat pada minit ke-66 tetapi cubaannya dapat dibaca Donnarumma. Peluang terbaik Lazio menerusi Immobile ketika permainan berbaki 10 minit turut gagal memecah kebuntuan.

Aksi satu lawan satu Immobile dengan penjaga gol muda Donnarumma, ketika pemain itu cuba melakukan sepakan lambung bagaimanapun tersasar selepas bola melepasi palang gol. Inzaghi kemudian menggantikan pemain itu dengan Felipe Caicedo.

Perlawanan kedua dijadual pada 24 April ini dengan tumpuan Lazio sudah pun terarah kepada aksi tetangga Rome menentang AS Roma, Sabtu ini manakala Milan menanti kunjungan Sassuolo dalam aksi Serie A.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 1:10 PM