PEMAIN dan pegawai Lazio meraikan kejayaan menjuarai Piala Itali di Rome, awal pagi tadi. — FOTO EPA
PEMAIN dan pegawai Lazio meraikan kejayaan menjuarai Piala Itali di Rome, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

LAZIO menjulang Piala Itali buat kali ketujuh awal pagi tadi selepas gol lewat daripada Sergej Milinkovic-Savic dan Joaquin Correa membantu mereka menang aksi final 2-0 ke atas Atalanta pada malam di Rome yang dicemari keganasan penyokong.

Tandukan padu Milinkovic-Savic mencipta laluan Lazio lapan minit sebelum tamat di Stadio Olimpico, beberapa ketika selepas masuk sebagai pemain gantian, sebelum Correa memastikan kemenangan pada masa kecederaan.

Kejuaraan itu membolehkan Lazio menempah tiket ke Liga Europa musim depan, keputusan yang ditunggu-tunggu memandangkan anak buah Simone Inzaghi berada di tangga kelapan Serie A, empat mata di belakang kelayakan ke Liga Juara-Juara dengan baki dua perlawanan.

“Kami terlalu ingin memenangi piala ini,” kata Inzaghi.

MILINKOVIC-SAVIC (dua kiri) menanduk masuk gol pertama Lazio. — FOTO EPA
MILINKOVIC-SAVIC (dua kiri) menanduk masuk gol pertama Lazio. — FOTO EPA

“Ia sesuatu yang amat memuaskan, kami berhak kerana kami berjuang hingga ke keringat terakhir.”

Bagaimanapun kemenangan pasukannya dicemari dengan pergaduhan di luar stadium antara penyokong ‘ultra’ Lazio dengan polis sebelum perlawanan.

Penyokong bertempur dengan polis dan sebuah kereta polis dibakar berdekatan jambatan Ponte Milvio tidak jauh dari Stadio Olimpico.

Menurut media Itali, dua polis mengalami kecederaan dan lima peminat ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 7:51 AM