MAURIZIO SARRI
MAURIZIO SARRI
AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Maurizio Sarri mengakui tugasnya sebagai pengurus Chelsea dalam bahaya selepas Manchester City menjaringkan empat gol dalam masa 25 minit permainan ketika pasukannya tewas 6-0 pagi tadi.

Sergio Aguero meledak hatrik buat City mengambil alih semula kedudukan di tempat teratas liga daripada Liverpool dengan perbezaan jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sementara, Chelsea tergelincir ke tangga keenam liga dengan kekalahan itu meletakkan masa depan Sarri dalam keraguan.

“Saya tidak tahu. Kamu perlu tanya pada pengurusan kelab,” kata pengendali dari Itali itu selepas ditanya mengenai kemungkinan dia dipecat selepas hanya lapan bulan dalam kontrak tiga tahun di Stamford Bridge.

“Saya bimbang dengan pasukan saya, bimbang akan aksi mereka tetapi masa depan kerjaya saya sentiasa berdepan risiko.”

Kekalahan 4-0 kepada Bournemouth di gelanggang lawan adalah kekalahan terburuk Chelsea dalam saingan liga sejak 1996 dan kekalahan ini adalah prestasi terburuk dalam kejohanan sejak 1991.

City membuka jaringan awal menerusi Raheem Sterling minit ke-4 permainan yang memanfaat kelekaan Edan Hazard dari menyekat sepakan percuma yang diambil Kevin de Bruyne dan Bernardo Silva yang mengumpan bola kepada pemain kebangsaan England itu untuk menghasilkan jaringan awal tuan rumah.

“Kami melepaskan jaringan selepas minit ke empat itu dalam cara yang tidak bijak,” kata Sarri.

“Ketika ini kami harus kekal dalam permainan dan pada sama dinafikan untuk bermain kerana melakukan kesilapan di tangan pihak lawan. Mereka bermain bola sepak yang menakjubkan hari ini (pagi tadi).”

Pengurus City, Pep Guardiola, bagaimanapun melihat keputusan perlawanan kurang berpihak kepada anak buah Sarri pastinya membimbangkan.

Pengendali dari Sepanyol itu juga berhadapan situasi sukar ketika tahun pertama menguruskan pasukan namun dia terus diberi kepercayaan oleh pengarah kelab bola sepak dan bekas rakan sekerja di Barcelona Txiki Begiristain sebelum membawa City muncul juara dengan rekod 100 mata musim lalu.

“Tahun pertama saya memang sukar. Dalam situasi berbeza kami bermain baik namun tidak konsisten seperti kini. Orang menjangkakan pengurus yang datang, membeli pemain dan ia berlaku sama sekali,” kata Guardiola.

“Ia perlukan masa. Faktor utama menyebabkan saya datang ke Manchester City adalah disebabkan ketua, pengerusi dan terutama Txiki (Begiristain). Saya tak perlu meyakinkan dia dan dia tahu cara saya. Dia tidak percaya saya bagus kerana saya menang dan teruk apabila kalah.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 1:07 PM