AFP

Manchester: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini berkata kontrak barunya adalah tanda kepercayaan pemilik kelab kepadanya.

Namun beliau mengakui perlu meraih kejuaraan jika mahu terus mendapat sokongan.

Pellegrini menandatangani kontrak lanjutan selama setahun pada Jumaat, mengekalkannya di City sehingga musim panas 2017.

Ia hadir selepas spekulasi mengenai masa depannya, apabila Pep Guardiola berulang-kali dikaitkan dengan kelab itu.

Guardiola, berbaki 12 bulan kontraknya di Bayern Munich, mempunyai hubungan yang rapat dengan ketua eksekutif City Ferran Soriano dan pengarah bola sepak Txiki Begiristain, pernah bersama di Barcelona.

Pellegrini berkata: “Saya fikir kontrak adalah sangat penting, sebagai tanda kepercayaan terhadap usaha kita.

“Saya sangat gembira di Manchester City. Kedua-dua pihak gembira dapat meneruskannya.

“Namun anda perlukan keputusan selepas itu. Adalah sangat penting kepada kami untuk mengharungi musim yang bagus dan meraih keputusan yang baik bersama pasukan. Sokongan kelab juga sangat penting untuk saya.”

Ini bermakna Pellegrini perlu memenangi trofi dan membaiki benteng pertahanan.

Juara Liga Perdana 2014 berkenaan muncul naib juara di belakang Chelsea musim lalu, melepaskan 38 gol, dengan pengendali itu merasakan ia terlalu banyak.

Beliau berkata: “Untuk saya musim yang bagus untuk pasukan besar adalah meraih kejuaraan. Anda tidak boleh mengatakan ia musim yang bagus tanpa meraih sebarang kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:07 AM