PEMAIN tengah Manchester City, Kevin De Bruyne. FOTO Reuters.
PEMAIN tengah Manchester City, Kevin De Bruyne. FOTO Reuters.
Reuters

MANCHESTER: Perancang tengah Manchester City, Kevin De Bruyne belum pasti dapat diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Chelsea apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu beraksi di Stadium Etihad, tengah malam esok, kata pengurus Pep Guardiola.

De Bruyne, 27, menjadi antara pemain paling berpengaruh City pada musim lalu dengan menghasilkan lapan gol dan membuat 16 umpanan, selain mencatat purata 36 penampilan dalam tempoh dua musim terakhir untuk juara bertahan EPL itu.

Kecederaan lutut bagaimanapun menyebabkan dia lebih banyak diketepikan dalam kempen kali ini dengan hanya membuat empat penampilan liga.

"Ia boleh jadi," kata Guardiola kepada pemberita apabila ditanya berhubung kemungkinan untuk De Bruyne sekadar diletakkan di bangku simpanan.

"Pada akhirnya, kami hanya memilih pemain berdasarkan siapa yang berada dalam prestasi terbaik. Ada kalanya rakan sepasukan anda lebih bagus daripada anda."

De Bruyne juga tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama City yang mencatat kemenangan 2-0 di Everton, Rabu lalu dan Guardiola berkata ia kerana taktikal pasukan.

"Di Goodison Park mereka lebih menekankan situasi bola mati, kami bukan pasukan yang tinggi jadi kami perlukan pemain yang lebih sesuai dengan situasi berkenaan," kata Guardiola.

"Kami cuba untuk mengawal pemain, dia (De Bruyne) beraksi dalam dua perlawanan sebelum itu. Di Everton, dia sempat beraksi beberapa minit. Saya mahu dia mendapat sebanyak mungkin aksi, dia masuk selama lima minit dan ia amat menakjubkan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 8:58 AM