AUBAMEYANG jaring 18 gol dalam 17 penampilan musim ini.
AUBAMEYANG jaring 18 gol dalam 17 penampilan musim ini.

Dortmund: Borussia Dortmund tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan mengenai masa depan Pierre-Emerick Aubameyang, kata ketua pegawai eksekutif Hans-Joachim Watzke walaupun Arsenal dikatakan bakal membuat bidaan baru bagi mendapatkan pemain itu.

Aubameyang, 26, mempamer aksi membanggakan di musim ketiganya bersama BVB dan menjaringkan 18 gol sepanjang 17 kemunculan Bundesliga selain sembilan gol dalam 10 perlawanan di Piala Jerman serta Liga Europa. Dia dinobatkan sebagai pemain kedua terbaik Bundesliga oleh panel pemilihan profesional baru-baru ini.

Walaupun baru melanjutkan kontrak bersama Dortmund hingga 2020, beberapa kelab utama Eropah sudah mula dikaitkan dengan pemain antarabangsa Gabon itu dan akhbar The Sun melaporkan bahawa Arsenal sedia untuk membuat bidaan bagi mendapatkan penyerang berkenaan.

Begitupun, Watzke memberitahu Bild bahawa juara Jerman 2011 dan 2012 itu berada di kedudukan terbaik untuk menghalang perpindahan pemain terbabit.

Sambil menjadikan khabar angin mengenai perpindahan Mats Hummels dan Ilkay Gundogan tahun lalu, Watzke berkata: “Di mana mereka sekarang? Masih di sini.

“Ketika ini, Borussia mampu untuk menawarkan gaji menarik kepada pemain. Di tambah dengan persekitaran BVB, kami tidak perlu menyorok apa-apa.”

Kajian turut mendapati hanya 15.6 peratus pemain Bundesliga tidak tertarik dengan tawaran gaji lumayan seperti yang diterima di Liga Perdana Inggeris tetapi Watzke berkata: “Kami mungkin tidak memiliki wang sebanyak Liga Perdana Inggeris tetapi kami boleh membuat pelbagai tawaran lain. Sebagai contoh, pemain kami boleh menyambut Krismas dengan gembira.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 8:38 AM