MOHD ASMIRUL ANUAR ARIS
MOHD ASMIRUL ANUAR ARIS
Izzali Ismail

ALOR SETAR: Jumlah kutipan Tabung CAS yang dilancarkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi menampung kos perbicaraan kes perpindahan Akhyar Rashid di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland sudah mencecah RM50,000.

Sejak tabung itu dilancarkan pada 3 Januari lalu, jumlahnya terus meningkat dalam tempoh kurang sebulan dan difahamkan, KFA memerlukan lebih RM100,000 untuk jumlah kos keseluruhan.

Mengulas lanjut perkembangan kes itu, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya menjangkakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah pun menerima surat peguam KFA.

“KFA tegas mempertahankan prinsip perlembagaan dan undang-undang negeri serta negara, termasuk undang-undang yang dibuat di bawah FAM dan KFA itu sendiri,” katanya.

Tegasnya, berdasarkan prinsip itulah KFA mengambil tindakan undang-undang dan pihaknya akan akur dengan sebarang keputusan selepas ini.

“Isu sama ada kami akan berpuas hati atau tidak, ia tidak perlu dipersoalkan kerana KFA akan sentiasa mematuhi setiap prosedur yang dibuat sehingga ke peringkat tertinggi.

“Sebab itulah Kedah mahu membawa kes ini ke peringkat CAS, tetapi baru-baru ini ada ‘viral’ foto Jasnie Shafie (Pengerusi Media KFA) berada di Switzerland. Kononnya dia membuat lawatan ke CAS, tetapi tidak benar, ia tidak berkaitan dengan urusan KFA,” katanya.

Pada 3 Januari lalu, KFA melancarkan Tabung CAS KFA, dalam usaha mengumpul sumbangan khasnya daripada penyokong skuad Lang Merah untuk membawa kes perpindahan Akhyar ke Johor Darul Ta’zim (JDT) ke peringkat CAS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 3:03 PM