Sala gagal dikesan selepas pesawat ringan dinaikinya hilang. FOTO AFP
Sala gagal dikesan selepas pesawat ringan dinaikinya hilang. FOTO AFP
Agensi

LONDON: Cardiff City menerima kejutan apabila pemain mereka, Emiliano Sala gagal dikesan, ketika pesawat ringan yang dinaikinya hilang daripada radar ketika melintas Terusan Inggeris, malam tadi.

Setakat ini, kelab itu memaklumkan kepada SkyNews, mereka sedang menunggu pengesahan mengenai perkara berkenaan.

Pusat Kawalan Trafik Udara mengesahkan pesawat itu berlepas dari Nantes di barat Perancis menuju ke Cardiff.

Wartawan Ouest France yang memuat naik laporan menerusi laman sosial Twetter melaporkan, Sala berada di dalam pesawat berkenaan, namun setakat ini tiada sebarang pengesahan.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan apabila pemain berusia 28 tahun berkenaan tidak memberikan sebarang maklum balas melalui media sosial.

Pemain Argentina ini merekodkan sejarah kelab apabila dibeli dengan rekod perpindahan 15 juta pound (RM80 juta) untuk kontrak selama tiga setengah tahun dari Nantes, ketika jendela perpindahan pemain pada Januari.

Difahamkan, dia berlepas ke United Kingdom (UK), semalam.

Berdasarkan status terakhir di media sosial, Sala berkongsi gambarnya bersama bekas rakan sepasukan dan menulis "Ciao" bersama emoji hati.

Bot penyelamat Alderney digerakkan pada jam 8.05 malam tadi untuk meninjau kedudukan pesawat Piper Malibu di kawasan utara Alderney.

Pada masa sama, bot penyelamay Guernsey serta dua helikopter turut membantu dalam gerakan mencari dan menyelamat.

Berdasarkan kenyataan polis Guernsey; “Pengawal Pantai Guernsey menerima laporan kecemasan pada jam 20:23 daripada Jersey ATC yang memaklumkan sebuah pesawat hilang daripada radar kira-kira 15 batu nautika dari Guernsey,

“Sebuah pesawat ringan, PA 46 Malibu, berada di laluan dari Nantes, Perancis menuju ke Cardiff, di Wales dengan dua individu di dalamnya. Pesawat hilang daripada radar ketika Jersey ATC cuba menghubungi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 7:14 PM