PEMAIN Manchester City Sergio Aguero menggesa pihak berkuasa berusaha mencari Emiliano Sala.  FOTO Agensi.
PEMAIN Manchester City Sergio Aguero menggesa pihak berkuasa berusaha mencari Emiliano Sala. FOTO Agensi.
Agensi

LONDON: Penyerang bintang Manchester City, Sergio Aguero menyuarakan pandangan betapa pihak berkuasa perlu meneruskan usaha mencari penyerang Cardiff City yang hilang, Emiliano Sala.

Polis Guernsey, semalam menamatkan pencarian terhadap Sala yang menaiki kapal terbang jenis Piper Malibu bersama juruterbang, David Ibbotson sebelum pesawat mereka didapati hilang ketika menuju ke Cardiff.

Pencarian dan usaha menyelamat berjalan selama tiga hari tanpa sebarang tanda penemuan pesawat berkenaan, yang dijadualkan menuju ke Ibu Negara Wales itu selepas penyerang dari Argentina itu mengucapkan selamat tinggal kepada bekas rakan sepasukannya di kelab Ligue 1 Perancis, Nantes.

Selain Aguero, kakak dan bapa kepada Sala, Romina dan Horacio turut merayu agar misi pencarian itu diteruskan.

“Kami tidak mahu berputus asa, kami mahu terus berharap,” kata Aguero di Twitter. “Kerana itu saya juga berharap #NoDejenDeBuscar - supaya jangan menghentikan pencarian. Sejak daripada mula, doa saya bersama Emiliano, keluarga dan rakan-rakannya #PrayForSala."

Rakan sepasukan Aguero di City, Nicolas Otamendi juga menulis perkara yang sama di Twitter: “Saya mahu menzahirkan simpati saya kepada keluarga Emiliano, dan menggesa polis untuk terus mencari pesawat berkenaan. Masih ada harapan untuk mendapati mereka selamat.”

Penyerang baharu Chelsea, Gonzalo Higuain membuat rakaman video dengan berkata: “Saya meminta orang di seluruh dunia agar meneruskan pencarian Emiliano Sala sehingga akhir. Tiada henti dan kamu perlu mencari penamatnya. Terima kasih.”

Sebelum itu, Nantes bersama sebahagian pemainnya, Fabio, Koffi Djidji dan Majeed Waris menggesa pihak berkuasa agak tidak menghentikan misi pencarian terhadap Sala.

"Nantes bersedih apabila mengetahui pencarian terhadap pesawat yang hilang, yang membawa Emiliano Sala dan juruterbang Dave Ibbotson ditamatkan,” kata kelab itu dalam Twitter.

“Perkara ini tidak boleh berhenti. Nantes, pengurusan, pemain-pemain, peminat memohon supaya pencarian Emiliano Sala diteruskan sebagai penghormatan terhadap keluarganya. Untuk Emi, kita perlu meneruskannya.!”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 3:50 PM