GUERRA (tengah) ketika kali pertama menyarung jersi PKNS FC. -Foto fail
GUERRA (tengah) ketika kali pertama menyarung jersi PKNS FC. -Foto fail
Syafiq Aznan

 

KELANA JAYA: Pemain import ‘baharu’ PKNS FC, Gabriel Guerra mengakui tiada sebab dia menolak peluang ditawarkan untuk kembali bersama pasukan itu bagi musim 2019.

Malah, dia menegaskan cukup gembira untuk berada bersama pasukan itu dan motivasinya kian melonjak untuk membantu skuad bimbingan Datuk K Rajagobal meraih kejayaan musim ini

“Saya memilih PKNS FC kerana ini adalah pasukan pertama saya di Malaysia dan saya juga amat mengenali pasukan ini.

“Memang kita tidak dapat membandingkan antara PKNS FC dengan pasukan terdahulu tetapi apa yang lebih penting, saya kini berada bersama PKNS FC. 

“Saya akan memberikan yang terbaik dalam setiap pertandingan yang diharungi,” katanya pada sidang media di Kompleks Sukan PKNS FC, Kelana Jaya, hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu mula menyertai skuad Semut Merah pada 2015 sebelum persembahan memukaunya menyaksikan dia disambar Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2017.

Sementara itu, seorang lagi pemain import baharu PKNS FC, Chan Vathanaka menjelaskan pengalaman singkatnya bersama Pahang pada musim lalu sudah cukup memberi gambaran kepadanya terhadap senario bola sepak di negara ini.

“Saya pernah beraksi dalam Liga Super sebelum ini dan saya tahu bahawa kita perlu sentiasa bekerja keras dan memberikan yang terbaik setiap kali diturunkan.

“Saya akan cuba membantu pasukan ini untuk muncul sekurang kurangnya sebagai empat pasukan terbaik,” katanya.

Kemasukan dua pemain import itu menyaksikan skuad Semut Merah kini memiliki empat pemain import selepas mengekalkan Romel Morales Ramirez dan menandatangani bekas penyerang MIFA, Kpah Sherman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 6:47 PM