PUGLIESE tidak bimbang Arruda (kanan) disunting kelab lain. -Foto fail
PUGLIESE tidak bimbang Arruda (kanan) disunting kelab lain. -Foto fail
Syafiq Aznan

PENYERANG prolifik FELCRA FC, Anselmo Arruda bukan setakat menggerunkan lawan dengan jumlah jaringannya, tetapi turut membuatkan pasukannya sendiri ‘tidak senang duduk’ dengan prestasi memukaunya itu.

Mana tidaknya, penyerang berusia 31 tahun itu sudah membuktikan statusnya sebagai penyerang paling berbisa dalam aksi Liga Perdana apabila meledak 13 gol ketika pasukannya baru beraksi dalam 11 perlawanan setakat ini.

Bekas penggempur Kuala Lumpur itu turut muncul sebagai pemain pertama meledak dua hatrik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila membantu skuad ‘The Rivals’ bangkit membenam Sarawak 3-2 dan menewaskan Terengganu FC II (TFCII) 3-1.

Namun, pengendali FELCRA FC, Tarcisio Pugliese mengakui beliau tidak bimbang seandainya ada pasukan yang cuba ‘memancing’ khidmat pemain yang turut dikenali dengan nama Casagrande itu dengan tawaran tinggi untuk memperkuatkan pasukan mereka bagi menghadapi baki saingan musim ini.

“Mengenai kedudukan Casagrande, saya tidak risau meskipun tahu persembahan cemerlangnya sudah tentu akan menarik minat pasukan lain. Bagi saya, dia bukan hanya setakat penyerang semata-mata dan khidmatnya begitu ditagih pasukan ini.

“Sudah tentu saya yakin dia akan terus kekal bersama pasukan dan dengan momentum sekarang, saya mengharapkan dia dapat membantu kami untuk meraih kedudukan yang terbaik bagi layak ke saingan Liga Super musim hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai situasi pasukan itu, pengendali dari Brazil itu menjelaskan tiada perubahan yang akan dibuat pada jendela perpindahan kedua ketika ini memandangkan beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan setakat ini.

“Saya gembira dengan skuad sedia ada dan skuad inilah yang akan terus digunakan untuk menghadapi baki saingan musim ini. Namun saya akui ada banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki, jadi kita perlu terus bekerja keras untuk mendapatkan hasil yang diingini,” katanya.

Status FELCRA FC sebagai satu-satunya pasukan yang belum kalah dalam saingan Liga Perdana bakal diuji, malam ini apabila bertemu pendahulu, FELDA United dan kemenangan akan kembali melonjakkan anak buah Pugliese itu ke tangga kedua liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 1:27 PM