PEMAIN PKNS FC, Jonatan Leonel Acosta (kiri) dan Zac Anderson (kanan) selepas menandatangani kontrak pemain import PKNS FC 2018 di Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya. Foto file
PEMAIN PKNS FC, Jonatan Leonel Acosta (kiri) dan Zac Anderson (kanan) selepas menandatangani kontrak pemain import PKNS FC 2018 di Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya. Foto file
Syafiq Aznan


PERTAHANAN import baharu PKNS FC, Zac Anderson mengakui potensi besar yang dimiliki Liga Malaysia (Liga M) membuatkan dia memilih untuk terus kekal beraksi di negara ini.

Menurut pemain kelahiran Australia itu, dia melihat saingan kancah bola sepak tempatan menjadi semakin berkembang dengan dia mahu merasai sendiri cabaran yang disifatkannya sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Malah, penerimaan rakyat Malaysia yang sentiasa melayan warga Australia dengan baik serta budaya yang agak sama menyebabkan dia tidak perlu berfikir panjang untuk menabur khidmat dengan skuad Semut Merah itu.

“Walaupun Liga Australia lebih baik tetapi saya melihat saingan di negara ini semakin mantap dari tahun ke tahun dan saya menikmati pengalaman yang mengujakan sejak beraksi di negara ini.

“Oleh sebab itu, saya gembira untuk terus berada di sini dan menyertai pasukan baharu sudah pasti dapat memberikan pengalaman berbeza kepada saya.

“Apapun, saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu perkembangan pemain tempatan dalam pasukan ini sekali gus dapat meningkatkan mutu persaingan dalam Liga M,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani kontrak di Kompleks Sukan PKNS, semalam.

Mengulas lanjut mengenai pasukan baharunya itu, bekas pertahanan Central Coast Mariners itu melontarkan keyakinan terhadap kemampuan pengendalinya, Datuk K Rajagobal untuk membentuk pasukan yang mampu mencabar kejuaraan pada musim hadapan.

“PKNS FC melakukan tugas yang baik dengan membawa masuk ramai pemain muda tempatan dan juga import yang hebat. Saya tidak sabar untuk memulakan musim hadapan.

“Kami mengharapkan kombinasi yang baik antara pemain tempatan dan juga import. Kami mahu menjadi antara pasukan terkuat musim hadapan,” katanya.

Pertahanan berusia 26 tahun itu adalah pemain import keempat menyertai PKNS FC selepas pasukan itu berjaya mendapatkan khidmat Muhammad Faris Ramli, Romel Morales Ramirez dan juga Jonatan Leonel Acosta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 2:23 PM