PENG Soon (kiri) dan Liu Ying ketika menjalani latihan.
PENG Soon (kiri) dan Liu Ying ketika menjalani latihan.
Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak menganggap rekod pertemuan ke atas pasangan nombor dua dunia China, Wang Yilyu-Huang Dongping sebagai kelebihan apabila turun bagi aksi sulung Kumpulan B saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Guanzhou, China esok.

Peng Soon-Liu Ying menang semua kedua-dua perlawanan ke atas Yilyu-Dongping sebelum ini di Seluruh England 2017 dan Terbuka Indonesia 2018.

Bagaimanapun, Liu Ying, berkata mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada rekod pertemuan semata-mata kerana perlawanan esok akan menjadi aksi berbeza, apatah lagi ia kejohanan terakhir musim ini yang bakal menyaksikan semua pasangan mahu mempamerkan prestasi terbaik.

“Kami tidak boleh terlalu fikir mengenai rekod pertemuan itu kerana hanya akan memberi tekanan kepada kami. Ini kejohanan berbeza dan kami perlu bermula daripada kosong.

“Berdasarkan undian kali ini, undian itu boleh dianggap agak baik untuk kami namun segala-galanya bergantung kepada prestasi kami sepanjang kejohanan ini nanti. Buat permulaan, kami meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan (mara ke separuh akhir),” kata Liu Ying.

Turut diundi dalam Kumpulan B ialah pasangan nombor tiga dunia Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dan beregu Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 turut memiliki rekod baik ke atas Watanabe-Arisa apabila menang semua tiga perlawanan sebelum ini - Terbuka Russia 2015, Seluruh England 2017 dan Terbuka Denmark 2018 - manakala tidak pernah menentang Hafiz-Gloria.

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut membuka tirai kempen mereka esok menentang beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai bagi aksi Kumpulan A.

Laluan Soon Huat-Shevon untuk ke separuh akhir lebih berliku apabila turut diundi bersama pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong selain Marcus Ellis-Lauren Smith dari England.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 4:06 PM