TRENT ALEXANDER-ARNOLD
TRENT ALEXANDER-ARNOLD
AFP

LONDON: Pemain Liverpool, Trent Alexander-Arnold dijangka terpaksa diketepikan selama sebulan susulan kecederaan lutut, sekali gus meningkatkan masalah pendahulu Liga Perdana itu di posisi pertahanan.

Pemain kebangsaan England itu berdepan masalah ketika sesi pemanas badan sebelum perlawanan menentang Brighton, Sabtu lalu yang menyaksikan Liverpool menang 1-0.

Situasi itu menambah masalah Reds selepas Joe Gomez masih berusaha untuk mengembalikan kecergasan susulan kecederaan patah kaki manakala pertahanan kanannya, Nathaniel Clyne dipinjamkan ke Bournemouth, awal bulan ini.

James Milner tampak sebagai calon terbaik untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Palace, Sabtu ini sekali pun seorang lagi pemain tengah, Fabinho, yang beraksi di posisi pertahanan susulan ketiadaan Joel Matip, Gomez dan Dejan Lovren boleh mengisi kekosongan itu.

Matip disenaraikan sebagai pemain gantian yang tidak digunakan ketika bertemu Brighton manakala Gomez belum menyertai latihan penuh dan pemain tengah, Georginio Wijnaldum turut berdepan kecederaan pada aksi berkenaan.

Sekali pun dibebani masalah kecederaan, skuad kendalian Jurgen Klopp masih memegang rekod pertahanan terbaik di Liga Perdana ketika ini dan Milner mneghamburkan pujian terhadap penjaga gol, Alisson Becker atas kerja kerasnya setakat ini.

Alisson yang juga pemain Brazil dan dibeli daripada Roma, musim panas lalu sudah melalui 13 perlawanan tanpa bolos dan hanya melepaskan 10 gol dalam 22 semua penampilannya.

“Sukar untuk memilih seorang pemain kerana seorang orang dalam skuad bermain dengan amat baik, bukan saja 11 orang yang disenarai dalam kesebelasan utama,” kata Milner.

“Saya fikir mungkin kamu boleh memilih Alisson. Datang ke liga baharu tidak pernah mudah. Dia menakjubkan untuk kami musim ini dan saya percaya dia akan menjadi pemain yang amat, amat penting untuk kami bergerak ke depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 1:33 AM