MANE (kanan) melakukan percubaan sambil diawasi pemain Bayern, Joshua Kimmich di Anfield, awal pagi tadi. - FOTO EPA
MANE (kanan) melakukan percubaan sambil diawasi pemain Bayern, Joshua Kimmich di Anfield, awal pagi tadi. - FOTO EPA
AFP

LIVERPOOL dan Bayern Munich gagal mencari sebarang kelebihan sekalipun pelawat berasa lebih yakin apabila seri 0-0 pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Liverpool, awal pagi tadi.

Di Lyon, bekas juara Barcelona meneruskan rekod kurang baik bagi aksi di gelanggang lawan apabila turut diikat tanpa jaringan oleh Olympique Lyon.

Sadio Mane mensia-siakan peluang terbaik buat tuan rumah di Anfield apabila percubaan pemain Senegal itu tersasar dalam tempoh 45 minit pertama namun persembahan kurang menarik pada babak kedua menyebabkan keputusan perlu ditentukan pada pertemuan kedua di Munich pada 13 Mac depan.

Tanpa kehadiran Virgil van Dijk kerana penggantungan manakala Joe Gomez dan Dejan Lovren mengalami kecederaan, Liverpool terpaksa membuat pertukaran di pertahanan tengah dengan pemain tengah Brazil, Fabinho bermain di bawah bergandingan dengan Joel Matip.

Matip menarik nafas lega apabila dia menguis hantaran lintang Serge Gnabry ke arah gol sendiri dan terkena dada Alisson Becker.

MESSI (kanan) gagal menewaskan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes di Stadium Groupama, awal pagi tadi. - FOTO Reuters
MESSI (kanan) gagal menewaskan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes di Stadium Groupama, awal pagi tadi. - FOTO Reuters

Barcelona pasti mengharapkan kelebihan di laman sendiri selepas Lionel Messi dan rakan sepasukan gagal memecah kebuntuan menentang Lyon.

Kelab gergasi Sepanyol itu memiliki banyak peluang di Stadium Groupama dengan Luis Suarez menyepak liar pada babak kedua namun Lyon hampir memecah kebuntuan apabila sepakan Martin Terrier terkena palang.

Skuad kendalian Ernesto Valverde sekali lagi kecewa pada hujung permainan dan kini melalui enam perlawanan di tempat lawan tanpa kemenangan dalam saingan kalah mati Liga Juara-Juara, menjaringkan hanya satu gol. Ia berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 7:32 AM