PENYERANG AC Milan, Gonzalo Higuain. FOTO Agensi
PENYERANG AC Milan, Gonzalo Higuain. FOTO Agensi
AFP

MILAN: Penyerang AC Milan, Gonzalo Higuain sudah “bersetuju dengan syarat” dan dijangka akan berpindah ke kelab Liga Perdana, Chelsea, lapor akhbar harian Itali, Gazzetta Dello Sport hari ini.

Higuain menyertai Milan menerusi pinjaman selama setahun dari Juventus pada Julai dengan pilihan untuk terus dibeli tetapi dia bergelut menyesuaikan diri di San Siro apabila menjaringkan hanya lapan gol dalam semua kejohanan.

Dan penyerang berusia 31 tahun dari Argentina itu mahu menyertai bekas pengurus Napoli, Maurizio Sarri di kelab Inggeris yang boleh membeli klausa pembelian semulanya berharga 36 juta euro (RM169.57 juta).

“Chelsea ada perjanjian dengan Higuain untuk terus mengambilnya,” kata Gazzetta.

Higuain melalui musim paling berjaya di bawah kendalian Sarri, memecahkan rekod jaringan Serie A dengan 36 gol pada kempen 2015/16.

Dia menjaringkan 91 gol ketika tiga tahun di kelab itu sebelum berhijrah ke Juventus pada 2016 dengan nilai 90 juta euro (RM423.92 juta).

Sebelum ini dia menghabiskan enam tahun di Real Madrid namun memulakan karier di River Plate dekat Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 11:09 PM