HIGUAIN menjaringkan lebih 300 gol untuk kelab dan 31 gol untuk Argentina. FOTO FAIL AFP
HIGUAIN menjaringkan lebih 300 gol untuk kelab dan 31 gol untuk Argentina. FOTO FAIL AFP
Reuters

Miami: Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain, 34, mengumumkan akan bersara pada hujung musim ini, sekali gus mengakhiri karier penuh trofi sejak hampir 18 tahun lalu.

Higuain memulakan karier bersama River Plate, tetapi mencipta nama bersama Real Madrid, Napoli dan Juventus sebelum menyertai kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami pada 202 dan menjaringkan lebih 300 gol untuk kelab dan 31 gol untuk Argentina.

"Selepas melalui karier yang indah, saya merasakan bola sepak banyak memberikan semuanya kepada saya," kata Higuain.

"Terima kasih kepada semua yang sentiasa percaya kepada saya, tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal."

Selepas membuat penampilan bersama River Plate pada 2005, Higuain berhijrah ke Real Madrid dan menjaringkan 121 gol serta memenangi tiga gelaran LaLiga, satu Copa del Rey dan dua Piala Super Sepanyol.

Tetapi, dia benar-benar menyerlah di Itali apabila menyamai rekod jaringan terbanyak dalam semusim iaitu 36 gol bersama Napoli dan membantu pasukan itu memenangi Coppa Italia.

Prestasi hebatnya di Naples untuk membolehkan perpindahan bernilai AS$88.29 juta (RM410.35 juta) ke Juventus dan dia memenangi tiga gelaran liga dan dua Piala Itali.

Higuain turut dipinjamkan ke AC Milan dan Chelsea sebelum berhijrah ke MLS.

Bersama Argentina, dia hampir memenangi trofi apabila menduduki tempat kedua Piala Dunia 2014 dan Copa America pada 2015 dan 2016.

Inter Miami berkata, Higuain akan membawa pasukan untuk aksi terakhir musim biasa menentang Orlando City pada Rabu dan Montreal pada Ahad, sebelum mengharungi aksi playoff.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 9:10 AM