KLOPP menenangkan Shaqiri selepas pasukannya tewas di tangan Wolverhampton pada saingan Piala FA. -Foto AFP
KLOPP menenangkan Shaqiri selepas pasukannya tewas di tangan Wolverhampton pada saingan Piala FA. -Foto AFP
AFP

WOLVERHAMPTON, United Kingdom: Liverpool tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tumbang 1-2 kepada Wolves sebentar tadi – ketika Jurgen Klopp terpaksa membayar harga mahal apabila menurunkan skuad kedua termasuk tiga pemain remaja di Molineux. 

Gol jaringan Raul Jimenez dan Ruben Neves di setiap babak perlawanan sudah cukup membolehkan tuan rumah melangkah ke pusingan keempat, walaupun Divock Origi berjaya merapatkan jurang buat Liverpool selepas waktu rehat.

Selepas kekalahan pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris kepada Manchester City, pada awal pagi Jumaat lalu, Klopp melakukan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama pasukannya.

Hanya James Milner dan Dejan Lovren kekal dalam senarai, tetapi Lovren hanya beraksi selama enam minit sebelum digantikan pemain berusia 16 tahun, Ki-Jana Hoever.

Rafael Camacho dan Curtis Jones juga terbabit dalam perlawanan ini, namun pemain paling berpengalaman Liverpool, Milner melakukan kesilapan yang memberikan gol pertama tuan rumah. 

Diogo Jota memerangkap bekas pemain kebangsaan England ini di bahagian tengah dan melorongkan bola kepada Jimenez yang gagal dipintas Fabinho.

Pemain Mexico ini cukup tenang menyudahkan hantaran bola rendah melepaskan penjaga gawang, Simon Mignolet untuk meledak gol ketujuh musim ini. 

Tanpa Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane, Liverpool dilihat bergelut untuk melakukan serangan.

Namun, pelawat berjaya merapatkan jurang apabila Origi meledak jaringan selepas enam minit perlawanan bersambung di babak kedua apabila menewaskan John Ruddy.

Wolves, yang memang terkenal sebagai pasukan yang kerap melakukan kejutan dalam Liga Perdana, kembali bersaing selepas jaringan penyamaan berkenaan.

Selepas menumbangkan Chelsea, Tottenham, City, Manchester United serta Arsenal di Liga Perdana, kini Liverpool berada dalam senarai pasukan yang kalah kepada skuad bimbingan Nuno Espirito Santo.

Mereka perlu berterima kasih Neves yang meledak gol kemenangan, apabila pemain Portugal melakukan percubaan jarak jauh yang cukup padu pada jarak 30 kaki untuk menewaskan Mignolet.

Ruddy pula melakukan aksi menyelamat yang cukup baik untuk menafikan percubaan Xherdan Shaqiri yang memburu gol penyamaan kedua, – hasil sepakan percuma yang menarik.

Klopp kemudiannya memasukkan Salah dan Firmino pada 20 minit terakhir perlawanan, namun masih gagal mencetus impak kebangkitan. Kini, pemilihan pemain yang dilakukan Klopp mula menjadi persoalan serius.

Ketika Liverpool sudah pun tersingkir daripada Piala Liga, jurulatih dari Jerman ini perlu menjulang trofi liga pertama dalam tempoh 29 tahun atau Liga Juara-Juara untuk mengelak daripada badi empat tahun tanpa sebarang gelaran. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 7:30 AM