PEMAIN Burnley meraikan kemenangan mereka. -Foto Reuters
PEMAIN Burnley meraikan kemenangan mereka. -Foto Reuters

LONDON: Huddersfield Town mencipta rekod lapan kekalahan berturut-turut ketika mereka tumbang 2-1 di laman sendiri kepada pasukan turut bergelut Burnley di Stadium John Smiths, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Sean Dyche, Burnley mendaki keluar daripada tiga pasukan terbawah ke tangga ke-16 dengan kemenangan kedua berturut-turut namun Huddersfield kini terbawah liga dengan lapan mata daripada zon selamat.

Burnley hampir mendapat gol pertama pada minit ke-31 apabila Ben Mee menemui hantaran percuma Ashley Westwood dan menanduk kencang namun penjaga gol Town, Jonas Lossl menyelamatkannya.

Dua minit kemudian Huddersfield mendahului apabila Steve Mounie menyelinap antara dua pertahanan Burnley untuk menanduk masuk hantaran lintang dari kiri Isaac Mbenza, jaringan pertama penyerang itu musim ini.

Kegembiraan penyokong tuan rumah hanya seketika apabila Burnley menyamakan kedudukan pada minit ke-40 apabila Chris Wood menyambar hantaran rendah Dwight McNeil, jaringan kedua pemain Kiwi itu dalam liga.

Pemain berusia 19 tahun, McNeil yang dilepaskan daripada Akademi Manchester United ketika berusia 14 tahun, hanya bermain buat kali ketiga namun menunjukkan prestasi baik dengan sentuhan bagus dan selesa bersama bola.

Seminit kemudian Huddersfield bermain 10 orang apabila pertahanan Christopher Schindler dibuang padang kerana kad kuning kedua selepas mengasari McNeil dalam kotak penalti.

Burnley mendahului selepas rehat apabila pada minit ke-74 Ashley Barnes menyempurnakan gerakan menarik pasukannya.

“Mengikut statistik 100 peratus kami sudah tersingkir kerana tiada pasukan selamat dengan hanya 10 mata daripada 21 perlawanan tetapi ia tidak mengubah sesuatu dalam minda kami yang kami mahu lakukan," kata pengurus Town dari Jerman, David Wagner. - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 8:33 AM