HADI Fayyadh. FOTO Arkib NSTP
HADI Fayyadh. FOTO Arkib NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Pasukan divisyen dua Liga Jepun (J2), Fagiano Okayama mengharapkan kehadiran penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak akan dapat menambah sengat pasukan itu dalam misi layak ke divisyen utama (J1) negara itu.

Pengurus besar pasukan itu, Tokuhiko Suzuki berkata, pihaknya optimis dengan kemampuan dimiliki Hadi Fayyadh yang muncul pemain pertama Malaysia beraksi secara profesional dalam kancah Liga Jepun.

Malah, mereka juga dilihat tidak sabar untuk menyaksikan kelibat pemain berusia 18 tahun itu di padang dan mengharapkan dia sentiasa bekerja keras untuk menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Kami akan memberi peluang sama rata kepada semua pemain dan sekiranya Hadi menunjukkan prestasi baik, kami sedia menurunkannya dalam kesebelasan utama bagi setiap perlawanan.

“Kami juga mengharapkan Hadi dapat membantu kelab ini layak ke J1. Sebagai pemain muda, kami akan menyediakan sesi latihan khas buat Hadi serta pemain muda lain bagi meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.

Dua pasukan yang menamatkan saingan J2 di tangga pertama dan kedua akan mara secara automatik ke J1, manakala pasukan di tangga ketiga hingga keenam akan mengharungi 'play-off' bagi merebut satu lagi tiket ke saingan elit itu.

Sebagai rekod, penyertaan Hadi dalam saingan Liga Jepun adalah penyertaan pertama pemain Malaysia kerana ketika Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim bersama kelab Ryukyu FC pada 2013, pasukan berkenaan beraksi dalam liga semi profesional.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menyatakan kesediaan untuk membantu lebih ramai pemain negara mendapat tempat dalam saingan Liga Jepun pada masa depan.

“Saya melihat bakat dipamerkan Hadi Fayyadh ketika Kejohanan Bola Sepak Piala Sanix yang berlangsung di Fukouka, Jepun, Mac lalu. Ketika itu, Yakult Malaysia menaja pasukan Bawah 19 tahun negara (B-19) menyertai pertandingan berkenaan sebagai persediaan sebelum Kejohanan AFF dan Kejohanan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Saya harapkan kejayaan Hadi ini akan membuka ruang bagi lebih ramai lagi pemain muda Malaysia dan bagi pihak Yakult, kami sedia membantu mana-mana pemain muda yang ingin mencuba nasib di Jepun,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 5:45 PM