HADI Fayyadh bersama  Pengurus Besar Fagiano Okayama, Tokuhiko Suzuki selepas selesai menandatangani kontrak bersama Fagiano Okayama di Pusat Latihan Masada, Okayama. -Foto Sportflex Malaysia
HADI Fayyadh bersama Pengurus Besar Fagiano Okayama, Tokuhiko Suzuki selepas selesai menandatangani kontrak bersama Fagiano Okayama di Pusat Latihan Masada, Okayama. -Foto Sportflex Malaysia
Oleh Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Kepulangan penyerang skuad Bawah 19 tahun (B-19), Hadi Fayyadh Abdul Razak buat kali kedua ke Fagiano Okayama nyata berbaloi selepas dia sah ‘melekat’ sebagai pemain baharu pasukan itu.

Pasukan yang beraksi dalam Divisyen Dua Liga Jepun (J2) itu serius mendapatkan khidmatnya apabila menawarkan kontrak selama setahun kepada penyerang tinggi lampai itu selepas dia menjalani dua sesi latihan bersama mereka pada September dan November lalu.

Hadi Fayyadh yang ditemui selepas menandatangani kontrak bersama pasukan itu di Pusat Latihan Masada, Okayama hari ini mengakui teruja apabila impiannya sejak kecil untuk beraksi di luar negara akhirnya menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah saya berasa sangat gembira kerana berjaya menempatkan diri dalam kelab ini. lni adalah satu permulaan yang baik bagi saya untuk meningkatkan kemahiran diri.

“Sebagaimana yang kita tahu, Jepun adalah antara pasukan bola sepak yang terbaik di Asia dan mempunyai program pembangunan bola sepak yang tersusun.

“Jadi, saya akan menggunakan kepercayaan yang diberikan Fagiano Okayama dengan sebaiknya dan sasaran saya adalah untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.

Dalam masa sama, penyerang berusia 18 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Yakult Malaysia Sdn Bhd yang menjadi tulang belakang dengan usaha mereka membantunya mendapatkan tempat di Jepun.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menyifatkan kejayaan Hadi mendapat tiket bersama pasukan itu adalah hasil usaha keras yang ditunjukkan olehnya sepanjang menjalani sesi latihan bersama mereka sebelum ini.

“Saya dimaklumkan oleh pasukan bahawa Hadi Fayyadh sentiasa memberikan yang terbaik dalam sesi latihan sehingga membuatkan mereka tertarik untuk memberi peluang kepada Hadi.

“Sebagai penaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya turut berkongsi kegembiraan ini dan berharap agar kejayaan ini dapat membuka ruang untuk lebih ramai lagi pemain Malaysia bermain secara profesional di Jepun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 12:10 PM