PENYERANG Young Boys, Guillaume Hoarau (kiri) meledak gol kedua pasukan ketika menewaskan Juventus di Stadium Stade de Suisse. FOTO AFP
PENYERANG Young Boys, Guillaume Hoarau (kiri) meledak gol kedua pasukan ketika menewaskan Juventus di Stadium Stade de Suisse. FOTO AFP
AFP

BERN, Switzerland: Guillaume Hoarau meledak satu gol di setiap babak bagi membantu Young Boys menewaskan Juventus 2-1, dalam aksi terakhir kumpulan Liga Juara-Juara di Switzerland, pagi tadi.

Namun, kelab dari Itali itu tetap menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan H, di hadapan Manchester United yang turut tewas kepada Valencia.

Young Boys - juara Switzerland ternyata terlalu sukar ditangani Juventus yang diterajui Cristiano Ronaldo apabila gergasi Itali itu mengalami kekalahan pertama di tempat lawan, musim ini.

Penyerang dari Perancis, Hoarau menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama di Stade de Suisse dan menambah jaringan pada minit ke-68 untuk meraih kemenangan sagu hati, selepas menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan.

Paul Dybala – yang meledak hatrik ketika kemenangan 3-0 di Turin, masuk sebagai pemain gantian sejurus selepas gol kedua tuan rumah dan merapatkan jurang 10 minit kemudian untuk skuad kendalian Massimiliano Allegri.

Dybala turut menyaksikan jaringannya dalam babak kecederaan dibatalkan pengadil kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Selapas tamat saingan peringkat kumpulan, Juventus menamatkan saingan Kumpulan H dengan 12 mata, diikuti United (10 mata), Valencia (lapan mata) dan Young Boys (empat mata).

“Kami mencapai sasaran untuk menjuarai kumpulan, walaupun pada malah yang serba tidak menjadi, mungkin kerana kami tidak cukup fokus,” kata Allegri.

“Kami terlepas banyak peluang dan memberikan penalti, jadi memang sepatutnya kami kalah.”

Ronaldo, penjaring terbanyak kejohanan elit Eropah itu dengan 120 gol, tetap memulakan permainan walaupun Juventus sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

Ini kerana, Allegri mahu pasukannya mengelak daripada diundi berdepan dengan pasukan juara kumpulan lain, seperti Barcelona, Real Madrid, Manchester City atau Paris Saint-Germain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 8:27 AM