PEMAIN Juventus meraikan goo tunggal Mandzukic. FOTO/AGENSI
PEMAIN Juventus meraikan goo tunggal Mandzukic. FOTO/AGENSI
AFP

TURIN, Itali: Mario Mandzukic menjaringkan gol tunggal perlawanan bagi membantu Juventus mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dengan kemenangan 1-0 ke atas Valencia, dalam saingan Kumpulan H, pagi tadi.

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo membuat umpanan untuk naib juara Piala Dunia dari Croatia itu menolak bola ke dalam gawang pada minit ke-59.

Kemenangan juara Itali itu, yang hanya memerlukan satu mata untuk layak, dan ditambah dengan kemenangan 1-0 Manchester United ke atas Young Boys di Old Trafford, terus menyingkirkan Valencia daripada pertandingan.

Pagi tadi, Ronaldo tampil pada prestasi terbaiknya selepas kad merah kontroversi ketika Juventus menentang Valencia pada perlawanan pertama Liga Juara-Juara, September lalu.

Ketika itu, skuad kendalian Massimiliano Allegri menang 2-0, walaupun terpaksa bermain 10 orang selepas kehilangan Ronaldo.

Dalam pertembungan kali ini, pemenang lima kali Ballon d’Or itu mencipta peluang seawal minit ketiga di Stadium Allianz dengan rembatan tepat ke arah penjaga gol Brazil, Neto.

Satu lagi peluang hadir buat Ronaldo susulan gandingan menarik daripada Paulo Dybala dan Alex Sandro, namun percubaannya tersasar.

Gawang tuan rumah terselamat apabila penjaga golnya, Wojciech Szczesny menepis tandukan Mouctar Diakhaby sejurus sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Juventus menggandakan asakan dan gawang Valencia sekali lagi diselamatkan oleh tindakan pantas Neto yang mematahkan sepakan percuma Ronaldo.

Namun Mandzukic memecah kebuntuan selepas Ronaldo menggelecek Gabriel dan membuat hantaran rendah kepada penyerang Croatia itu.

Dua minit kemudian, tandukan Diakhaby membolosi gawang Juventus tetapi gol berkenaan tidak dikira selepas pertahanan Perancis itu didapati menggunakan tangan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 7:20 AM