Christie ketika beraksi bersama FELDA United. FOTO HM Digital
Christie ketika beraksi bersama FELDA United. FOTO HM Digital
Asrol Awang


KUANTAN: Selepas semusim beraksi di Liga Perdana, bekas pemain kebangsaan, Christie Jayaseelan memutuskan untuk terus kekal bersama FELDA United yang akan beraksi di Liga Super, musim depan.

Sebelum ini, Christie dikatakan mahu meninggalkan skuad The Fighters bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2019, tetapi membuat keputusan pada minit akhir untuk terus kekal bersama skuad juara Liga Perdana 2018 itu.

"Saya membuatkan keputusan untuk kekal bersama The Fighters kerana kelab ini masih percaya dengan prestasi semasa saya dalam usaha memburu pencapaian terbaik musim 2019. 

"Atas sebab itu saya membuat keputusan untuk terus kekal walaupun ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain.

"Pada masa sama, kejayaan membantu pasukan kembali beraksi ke Liga Super selepas menjuarai Liga Perdana musim ini antara faktor saya berbuat demikian," katanya. 

Mengulas keputusan FELDA United yang menyenaraikan sebahagian besar pemain muda musim 2019, Christie percaya kelab itu mampu memberikan saingan kepada pasukan lebih berpengalaman. 

Pemain berasal dari Kajang, Selangor berharap gabungan pemain senior dan junior dalam kelab itu diharap tidak menjejaskan prestasi pasukan, sebaliknya memberikan satu kelebihan untuk muncul selaku pencabar utama.

"Sebagai pemain senior, saya akan membantu pemain muda untuk meningkatkan lagi kebolehan mereka terutama beraksi di peringkat tertinggi dalam Liga M. 

"Saya harap mereka akan cepat matang untuk bersaing dengan pemain yang memiliki lebih pengalaman," katanya yang sebelum ini dikatakan bakal mengikuti jejak langkah bekas jurulatih, B Sathianathan meninggalkan pasukan.

Sathianathan kini mengemudi pasukan Selangor bagi saingan musim 2019, manakala FELDA United akan dikemudi ketua jurulatih baharu, Mohd Nidzam Jamil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 6:22 PM