CHRISTIE Jayaseelan
CHRISTIE Jayaseelan
Asrol Awang

Kuantan: Enam tahun lalu, Christie Jayaseelan bekerjasama dengan B Sathianathan dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mereka meraih gelaran juara Liga Perdana 2012.

Dengan kembali mereka bersama dalam FELDA United musim ini, pemain tengah itu mahu gelaran sama diraih dengan bekas jurulatih kebangsaan itu.

Christie berkata, peranan Sathianathan memberi kesan besar dalam kerjayanya dan salah satu faktor dia menyarung kembali jersi The Fighters musim ini.

“Saya meninggalkan PKNS FC dan menyertai beliau pada 2012 dan kami berjaya menjulang trofi Liga Perdana bersama ATM pada musim itu.

“Musim ini, saya harap kami dapat mengulangi pencapaian sama. Saya tahu apa yang diharapkan oleh jurulatih dan sudah bersedia untuk membuktikannya bersama FELDA United musim ini,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

Christie berkata, walaupun terkejut apabila The Fighters terpaksa turun ke Liga Perdana, dia bersama rakan sepasukan menerimanya dengan hati terbuka dan tekad mahu meletakkan semula FELDA United ke saingan Liga Super pada 2019.

Musim lalu, Christie bersama Pahang namun tidak dapat beraksi dengan baik berikutan kecederaan dan kini sudah pulih sepenuhnya untuk membantu The Fighters.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 3:27 AM