PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO AFP
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO AFP
AFP

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kini mengharapkan tuah Anfield apabila anak buahnya melayan kunjungan Napoli dalam aksi terakhir kumpulan saingan Liga Juara-Juara.

Ini selepas skuad The Reds tewas 1-2 di tangan Paris Saint-Germain, awal pagi tadi.

Liverpool yang muncul naib juara musim lalu kini dalam zon bahaya susulan kekalahan itu yang mana mereka perlu menang bertemu Napoli bagi melangkah ke pusingan kalah mati.

Kekalahan di tangan PSG menyaksikan anak buah Klopp kini menghuni tangga ketiga Kumpulan C berbaki satu perlawanan, tiga mata di belakang Napoli dan dua mata ketinggalan di belakang PSG.

Situasi berkenaan membuatkan Liverpool tidak mempunyai pilihan selain menewaskan Napoli di Anfield dengan keputusan 1-0 atau dengan kelebihan dua gol bagi memastikan layak ke pusingan 16 terbaik.

Jika tidak, mereka perlu berharap PSG tewas di tangan Red Star Belgrade.

Anfield bagaimanapun menjadi benteng kukuh Liverpool yang menyaksikan mereka belum pernah tewas dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara untuk tempoh 18 bulan.

"Sudah pasti saya sedar mengenainya, kami memerlukan suasana yang hebat dan ia akan menjadi sesuatu yang istimewa," kata Klopp.

Napoli hanya perlu seri bagi melangkah ke pusingan kalah mati. Kelab Itali itu menewaskan Liverpool 1-0 di laman sendiri pada Oktober lalu dan seri dua kali dengan PSG.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 10:18 PM