PENYOKONG Argentina memakai topeng bermuka Messi. FOTO/REUTERS
PENYOKONG Argentina memakai topeng bermuka Messi. FOTO/REUTERS
AFP

RIYADH: Argentina membuktikan mereka tetap mampu hidup tanpa kelibat Lionel Messi apabila pasukan kedua yang diturunkan mudah membenam Iraq 4-0, dalam aksi persahabatan antarabangsa di sini, pagi tadi.

Pengendali sementara, Lionel Scaloni menggunakan perlawanan itu untuk menguji kombinasi bakat baharu untuk mengasak tuan rumah, dengan hanya tiga pemain senior disenaraikan kali ini.

Hanya penjaga gol, Sergio Romero serta pemain pertahanan, Ramiro Funes Mori dan penyerang, Paulo Dybala yang menjadi pemain berpengalaman dipilih menguatkan barisan Argentina.

Tonggak Inter Milan, Lautaro Martinez membuka tirai jaringan pada minit ke-18, menerusi tandukan selepas menerima hantaran bola silang Marcos Acuna dari bahagian sayap kiri.

Roberto Pereyra menjaringkan gol ketiga pada minit ke-53, apabila pemain Watford ini menamatkan gerakan satu dua dengan Dybala sebelum melakukan penyudah yang cukup menarik.

Pertahanan Fiorentina, German Pezzella menanduk masuk gol ketiga hasil bola sepakan sudut dengan menewaskan penjaga gol Iraq, Jalal Hassan sebelum Franco Cervi melengkapkan jaringan keempat pada masa kecederaan.

Argentina akan berdepan musuh tradisi, Brazil, di Arab Saudi pada Selasa depan dan selepas itu, Brazil akan berdepan tuan rumah di gelanggang yang sama pada, Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 8:25 AM