KHAIRY Jamaluddin (dua dari kanan) ketika perasmian We Rock The Spectrum Kids Gym di Melawati Mall. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
KHAIRY Jamaluddin (dua dari kanan) ketika perasmian We Rock The Spectrum Kids Gym di Melawati Mall. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: “Teruskan, saya terbuka dalam hal ini,” kata bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Itu reaksi Khairy ketika diminta mengulas mengenai keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika wujud unsur rasuah dan penyelewengan dalam pelaksanaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Katanya, beliau jelas tidak risau kerana dia sudah menjalankan tanggungjawab bagi mendapatkan dana sehingga projek pembangunan itu dapat berjalan seperti yang sudah dirancang.

“Saya tiada apa-apa cuma tanggungjawab saya adalah mendapatkan belanjawan dan memastikan projek ini dapat dibangunkan.

“Kalau ada apa-apa kepincangan atau disyaki ada ketirisan, mereka boleh laporkan kepada sesiapa. Saya tiada masalah, “ katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan gimnasium kanak-kanak pelbagai spektrum ‘We Rock The Spectrum’ di Taman Melawati, hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau akan membuat penilaian teliti selepas wujud dakwaan berlaku unsur ketirisan membabitkan kontraktor yang dilantik dengan kos RM85 juta bagi membangunkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

Katanya, beliau berjanji akan membuat siasatan hingga ke lubang cacing berhubung dana RM85 juta untuk pembangunan pusat latihan berkenaan.

“Saya sendiri akan nilai dan lihat kalau perlu pengauditan, kita kena buat dan kalau perlu siasatan kita akan maklumkan kepada SPRM.

“Saya serius dalam perkara ini kerana apabila saya bertemu Lim Teong Kim (Pengarah AMD), dia kata benda sama iaitu (pusat latihan) perlukan penambahbaikan, bila jumpa barisan kejurulatihan pun mereka luahkan perkara sama.

“Perkara ini perlu diselesaikan dahulu kerana jika tidak diselesaikan, kita campak duit banyak mana pun ia tak akan pergi jauh, integriti adalah nombor satu," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog NFDP bersama penyokong bola sepak tanah air di Majlis Sukan Negara (MSN), kelmarin.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 2:31 PM