CATUAN makanan bermula selepas pilihanraya dimana pemain hanya makan dua kali sehari di AMD. -Foto fail
CATUAN makanan bermula selepas pilihanraya dimana pemain hanya makan dua kali sehari di AMD. -Foto fail
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: “Isu kurang makan di AMD (Akademi Mokhtar Dahari) sebenarnya bermula selepas berakhirnya pilihan raya pada Mei lalu”, kata seorang daripada ibu bapa yang enggan namanya didedahkan kerana bimbang akan memberi kesan kepada pembelajaran anaknya di akademi itu.

Bagaimanapun, beliau tetap mahu berkongsi situasi sukar dihadapi pelatih terutama membabitkan kelompok pemain daripada tingkatan tiga dan empat.

Katanya, pendedahan Sukan NSTP mengenai catuan makanan adalah benar selepas peruntukan sepatutnya disalurkan untuk penyediaan makanan tidak sampai yang menyaksikan pelatih hanya makan dua kali sehari di AMD pada waktu pagi dan malam, manakala pada waktu tengahari terpaksa menumpang di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).

“Apa yang saya tahu, isu ini bermula selepas pilihan raya apabila dana untuk makanan tak turun-turun dan sebab itu mereka hanya makan dua kali saja di AMD.

“Mujur di SSMP pelatih diberi makan waktu tengahari memandangkan ia adalah waktu persekolahan di situ. Tapi ia hanya membabitkan pelatih tingkatan tiga dan empat saja.

“Bagi pelatih tingkatan satu dan dua pula, mereka masih tinggal di SSMP dan tidak berdepan masalah pemakanan. Malah, berlebih-lebih lagi makanan untuk mereka.

“Cuma kasihan pada pelatih di AMD yang terpaksa mengikat perut pada waktu petang sebelum turun berlatih,” katanya kepada Sukan NSTP.

Semalam, akhbar mendedahkan luahan ibu bapa yang bimbang mengenai masalah yang berlaku di akademi bernilai RM85 juta itu selepas mendakwa kehidupan anak mereka ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Malah, lawatan mengejut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Jumaat lalu turut menyaksikan wujudnya pelbagai kepincangan lain termasuk kemudahan dan peralatan yang tidak sesuai seperti kerosakan padang tiruan di akademi itu.

Syed Saddiq turut menegaskan akan membuat penilaian teliti selepas wujud dakwaan berlaku unsur ketirisan membabitkan kontraktor dilantik dan berjanji akan membuat siasatan hingga ke lubang cacing berhubung dana RM85 juta untuk pembangunan pusat latihan berkenaan.

Menurut sumber berkenaan, pelatih tidak mahu keluar dari AMD kerana tempat berkenaan ibarat ‘universiti’ terbaik bagi bola sepak.

“Sebab itu kebanyakan ibu bapa dan pelatih sendiri tak kisah dan sanggup harung asalkan masih dalam sistem AMD.

“Cuma saya hairan, mengapa baru sekarang menteri datang melawat sedangkan pilihan raya sudah lama habis, lima bulan yang lalu. Isu ini tak timbul kalau peruntukan makanan terus disalurkan tanpa ada sekatan dari atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 1:55 PM