BROOKS KOEPKA
BROOKS KOEPKA
Reuters

LOS ANGELES: Brooks Koepka, yang memenangi Kejuaraan PGA dan Terbuka Amerika Syarikat tahun ini, dicalonkan bagi merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA semalam bersama Justin Rose, Dustin Johnson, Justin Thomas, Bryson DeChambeau dan Francesco Molinari.

Koepka, 28, yang muncul pemain pertama mempertahankan kejuaraan Terbuka AS dalam tempoh 29 tahun, Jun lalu dan mengatasi cabaran sengit Tiger Woods bulan lalu pada Kejuaraan PGA, menjadi calon utama memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan kali ini.

Pemain AS itu berdepan saingan pemain England, Rose, yang merangkul kejuaraan Piala FedEx Ahad lalu dan menang dua daripada 18 kejohanan disertainya tahun ini.

Pemain nombor satu dunia, Johnson pula menang tiga daripada 20 kejohanan dengan 12 kali berakhir dalam kelompok 10 terbaik serta melepasi had kelayakan 19 kali untuk dicalonkan bagi anugerah yang dimenanginya pada 2016.

Pemain Terbaik Tahunan tahun lalu, Thomas menang tiga daripada 23 kejohanan disertainya musim ini dan mencatat 10 penamat 10 terbaik.

DeChambeau, yang menang tiga kejohanan dan sembilan penamat 10 terbaik serta pemain Itali, Molinari, yang menang dua kejohanan dan lima penamat 10 terbaik turut tersenarai untuk merebut anugerah itu.

Proses undian untuk memilih penerima penghormatan tertinggi dalam sukan golf dikenali sebagai Anugerah Jack Nicklaus itu akan ditutup pada 1 Oktober depan dengan nama pemenangnya diumumkan pada minggu itu.

Austin Cook, pemain Jepun, Satoshi Kodaira, Keith Mitchell, pemain Chile, Joaquin Niemann and Aaron Wise pula lima calon bagi anugerah Rookie Terbaik Tahunan PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 10:00 AM