CHONG Wei kini berada di Taiwan untuk menjalankan rawatan. FOTO/FAIL
CHONG Wei kini berada di Taiwan untuk menjalankan rawatan. FOTO/FAIL
Helmi Talkah

 

JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei berterima kasih atas segala doa dan sokongan diberikan seluruh rakyat Malaysia ketika dia berada situasi sukar selepas disahkan menghidap kanser hidung tahap awal.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp, hari ini secara ringkas mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk dia kembali pulih sepenuhnya.

Chong Wei, 36, ketika ini berada di Taiwan sejak Julai lalu bagi menjalani rawatan terhadap penyakit yang dihidapinya itu.

Difahamkan, rawatan buat juara Terbuka Malaysia 12 kali itu selesai semalam dan dia dijangka pulang ke tanah air minggu depan.

Bagaimanapun, dia masih perlu berehat sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan hingga dua bulan.

Terdahulu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan, hari ini mengesahkan bekas pemain nombor satu dunia itu menghidap kanser hidung tahap awal.

Norza dalam kenyataan itu, berkata rawatan Chong Wei di Taiwan berjalan dengan baik dan sedang dalam proses pemulihan.

Masalah kesihatan dialami Chong Wei mula menjadi tumpuan selepas pemain berkenaan menarik diri daripada beraksi pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang 2018, bulan lalu.

Susulan itu, Meja Sukan NSTP melaporkan Chong Wei berkemungkinan besar terpaksa 'menggantung raket' kerana sebenarnya mengalami masalah kesihatan yang serius.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 7:54 PM