NAOMI OSAKA
NAOMI OSAKA
Reuters

TOKYO: Juara Terbuka Amerika Syarikat Naomi Osaka terus mempamerkan prestasi cemerlang di hadapan penyokong sendiri apabila mara ke separuh akhir Terbuka Pan Pacific dengan menewaskan Barbora Strycova 6-3, 6-4 hari ini.

Pemain berusia 20 tahun itu yang beraksi dalam kejohanan pertamanya sejak menjuarai kejuaraan sulung Grand Slam awal bulan ini berjaya mengekalkan momentum kemenangan di New York setakat ini.

Naomi terbukti sukar dikekang Barbora sejak permulaan perlawanan apabila mendahului 4-1di set pertama manakala pukulan kencangnya sukar ‘dijawab’ lawan yang menduduki ranking ke-25 dunia itu.

Walaupun Barbora berusaha bertahan, keputusan tetap tidak memihak kepadanya apabila Naomi menang mudah dalam masa satu jam 35 minit.

Pemain Czech itu menewaskan Naomi dalam pertembungan tiga tahun lalu di Tokyo tetapi pemain Jepun pertama yang memenangi Grand Slam itu tampil berbeza dengan kemenangan hari ini adalah yang kesembilan berturut-turut.

Naomi akan menentang pemain Itali, Camila Giorgi di separuh akhir esok selepas Victoria Azarenka terpaksa menarik diri ketika Camila mendahului 5-3 pada set pertama dalam satu lagi aksi suku akhir.

Naomi dan Camila tidak pernah bertembung dalam kejohanan WTA sebelum ini.

Pada pertarungan sebelah pagi, penonton di Arena Tachikawa Tachihi dihiburkan dengan pertarungan maraton membabitkan Karolina Pliskova yang menewaskan Alison Riske 6-1 6-7(5) 7-6(4) dalam masa dua jam 30 minit.

Karolina akan menentang Donna Vekic dari Croatia yang mengejutkan pemain nombor empat dunia yang juga pilihan kedua Caroline Garcia 6-3 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 9:05 PM