Pemain dari Jepun, Naomi Osaka gembira selepas menewaskan Serena pada aksi separuh akhir perseorangan wanita Terbuka Australia. FOTO AFP
Pemain dari Jepun, Naomi Osaka gembira selepas menewaskan Serena pada aksi separuh akhir perseorangan wanita Terbuka Australia. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Naomi Osaka mempamerkan aksi bertenaga untuk memusnahkan impian Serena William memburu trofi Grand Slam ke-24 dengan kemenangan straight set pada aksi separuh akhir Terbuka Australia, sebentar tadi.

Pemain pilihan ketiga dari Jepun berkenaan mengatasi pemain veteran Amerika Syarikat itu, 6-3, 6-4 di Rod Laver Arena di hadapan ribuan penonton yang kembali dibenarkan menyaksikan kejohanan selepas Melbourne melaksanakan perintah berkurung selama lima hari.

Naomi akan berdepan pemain Amerika Syarikat, Jennifer Brady atau pemain Republik Czech, Karolina Muchova pada Sabtu untuk kejuaraan keempat Slam selepas kejayaan di Flushing Meadows pada 2018 dan tahun lalu, selain Melbourne pada 2019.

Serena pula kali terakhir memenangi kejohanan utama di Melbourne pada 2017, merangkul 23 kejuaraan Grand Slam ketika dia berusaha menyamai rekod sepanjang zaman Margaret Court.

Sejak menang ketika mengandung di Australia empat tahun lalu, Serena telah tewas dalam empat final Slam, termasuk satu kepada Naomi dalam aksi kontroversi di Terbuka Amerika Syarikat 2018.

"Saya melakukan beberapa kesilapan dalam permainan awal, saya sangat gementar dan takut," kata Naomi, yang berjaya menguasai perlawanan pada set pertama selepas ketinggalan 0-2.

"Namun saya kemudian memperbaiki corak permainan dan perkara paling penting bagi saya adalah berseronok."

"Pada saya, ia adalah satu kebanggaan untuk beraksi berdepan Serena dan saya tidak mahu tersingkir (dari kejohanan) dengan teruk, jadi saya cuba melakukan yang terbaik." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 1:35 PM