MIKEL ARTETA
MIKEL ARTETA
Reuters

LONDON: Penolong jurulatih Manchester City, Mikel Arteta percaya juara bertahan Liga Perdana itu memiliki barisan pemain terbaik di dunia tetapi tetap menganggap Real Madrid sebagai pasukan pilihan untuk sekali lagi menjuarai Liga Juara-Juara musim ini.

Arteta, yang akan mengetuai City pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara berdepan Olympique Lyon, Khamis ini susulan penggantungan pengurus Pep Guardiola, turut berkata pasukannya berada pada kedudukan terbaik untuk mencabar pencapaian tertinggi di Eropah musim ini.

“Bagi saya, kami memiliki barisan pemain terbaik di kelab ini,” kata Arteta pada sidang media, hari ini. “Saya melihat mereka setiap hari dalam latihan dan saya tidak akan menukar mereka dengan yang lain kerana mereka adalah yang terbaik.”

Real, yang menjual Cristiano Ronaldo kepada Juventus, menjuarai Liga Juara-Juara tiga tahun berturut-turut, namun City turut menjadi pasukan pilihan tahun ini walaupun terkandas di suku akhir musim lalu.

“Ia mengejutkan menjadi pasukan pilihan apabila pasukan di luar sana yang sudah menjuarai kejohanan ini tiga kali berturut-turut,” kata Arteta.

“Walaupun mereka kehilangan Cristiano Ronaldo, Saya tetap anggap Real Madrid sebagai pilihan utama kerana sejarah dan pengalaman mereka. Tapi saya fikir (persaingan) Liga Juara-Juara akan lebih terbuka pada musim ini.

“Orang lain fikir kami calon untuk bersaing dengan pasukan terbaik di Eropah kerana kami konsisten dan cara kami beraksi menentang pasukan besar. Matlamat kami untuk memenangi Liga Juara-Juara dan saya rasa kami semakin meningkat.”

Jurulatih kelahiran Sepanyol yang yang dikaitkan dengan tugas jurulatih di Arsenal pada penghujung musim lalu sebelum kelab London itu melantik Unai Emery sebagai pengganti Arsene Wenger, juga mengatakan dia mahu membuka langkah sebagai pengurus pada masa depan.

“Saya ada kelebihan kerana saya sudah berada dalam dunia bola sepak sekarang,” tambah Arteta. “Jika anda bertanya saya akan menjadi jurulatih satu hari nanti, jawapannya mungkin betul, tapi saya rasa bertuah untuk memikul tugas sekarang dan masih banyak ruang bagi kelab ini berkembang.”

Guardiola sedang menjalani penggantungan selepas memasuki padang untuk membantah keputusan pengadil ketika skuadnya tewas kepada Liverpool pada suku akhir musim lalu, namun Arteta bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi membuktikan ketiadaan pengurus itu tidak menjejaskan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 1:16 AM