KEVIN ANDERSON
KEVIN ANDERSON
AFP

LONDON: Kevin Anderson dan John Isner mahu ketua Grand Slam memperkenalkan sistem potongan mata untuk perlawanan set terakhir selepas aksi separuh akhir Wimbledon tersenarai di dalam buku rekod sebagai perlawanan kedua perseorangan terpanjang dalam kejohanan utama.

Anderson bertahan dalam ujian ketahanan fizikal selepas menundukkan Isner 7-6 (8/6), 6-7 (5/7), 6-7 (9/11), 6-4, 26-24 dalam masa enam jam dan 36 minit.

Set terakhir berlangsung hanya kurang tiga minit sebelum memasuki tiga jam.

Dia akan bertemu sama ada Novak Djokovic atau Rafael Nadal di final, esok.

Perlawanan separuh akhir yang dinanti-nanti dihentikan sejurus selepas 11 malam dengan persetujuan Djokovic yang mendahului Nadal 6-4, 3-6, 7-6 (11/9) sebelum disambung hari ini.

Anderson membuat penganjur kejohanan Grand Slam jelas perlu mempertimbangkan perubahan peraturan dengan membuat penentuan lima set bagi mengelakkan pemain keletihan.

“Saya harap ini adalah tanda untuk perubahan Grand Slam. Untuk kita yang berada di gelanggang dalam jangka masa itu. Saya harap kita dapat melihat perkara ini kerana pada akhirnya anda tidak berasa hebat,” kata Anderson yang berada di gelanggang melebihi 21 jam dalam kejohanan ini.

Dia juga beraksi selama lima set untuk menewaskan juara lapan kali, Roger Federer di peringkat suku akhir dengan memenangi set penentuan, 13-11.

“Kami berdua bermain dalam keadaan agak sukar,” katanya.

“Jika di pihak lawan (kalah), saya tidak tahu bagaimana kamu mengendalikannya.”

Isner sebelum ini memenangi perlawanan perseorangan Grand Slam yang paling lama menentang Nicolas Mahut yang berlangsung selama 11 jam dan lima minit dalam masa tiga hari pada pusingan pertama Wimbledon 2010.

Pemain berusia 33 tahun itu bersetuju dengan Anderson bahawa Wimbledon, Terbuka Australia dan Roland Garros harus sejajar dengan Terbuka Amerika Syarikat dan memperkenalkan tie break di final set.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 8:06 AM