PEMAIN Korea Selatan, Ki Sung-yueng tinggalkan Swansea untuk sertai Newcastle secara percuma. FOTO Reuters
PEMAIN Korea Selatan, Ki Sung-yueng tinggalkan Swansea untuk sertai Newcastle secara percuma. FOTO Reuters
AFP

NEWCASTLE United melengkapkan perpindahan pemain Korea Selatan, Ki Sung-yueng secara percuma selepas pemain tengah itu memutuskan untuk meninggalkan pasukan yang tersingkir dari Liga Perdana, Swansea.

Pemain berusia 29 tahun itu menandatangani kontrak dua tahun dan menjadi pemain baharu kedua ditandatangani Newcastle selepas Martin Dubravka.

"Saya sangat gembira dapat menyertai kelab ini.

"Saya sentiasa teruja hadir ke St. James Park untuk menentang Newcastle, suasana yang hebat dan sokongan padu penyokong kepada pemain," jelasnya dalam laman web rasmi kelab.

"Semua sedar betapa besarnya kelab ini, jadi saya tidak sabar untuk beraksi bersama rakan sepasukan dan untuk penyokong. 

Sung-yueng adalah kapten Korea Selatan di Piala Dunia namun kecederaan menyebabkan dia tidak beraksi ketika menewaskan Jerman 2-0  di Piala Dunia sehingga menyingkirkan juara bertahan itu.

"Saya gembira dengan kehadiran Ki ke kelab ini. Dia adalah pemain yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa dan Liga Perdana. Keputusan membawanya adalah mudah," kata pengurus Newcastle Rafael Benitez.

Sung-yueng tampil sebanyak 162 kali bersama Swansea dalam tempoh lima tahun, meledak 12 gol dan membawa kelab Wales berkenaan memenangi kejuaraan tunggal pada 2012/13 iaitu Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 5:30 AM