SHIN Tae mahu anak buahnya berjuang habis-habisan menentang Jerman. FOTO/AFP
SHIN Tae mahu anak buahnya berjuang habis-habisan menentang Jerman. FOTO/AFP
AFP

KAZAN: Pengendali Korea Selatan, Shin Tae-Yong berkata, pasukannya hanya mempunyai ‘satu peratus peluang’ untuk menumbangkan Jerman sekali gus menghantar pulang juara bertahan itu daripada Piala Dunia kali ini.

Kekalahan 0-1 kepada Mexico dan kemenangan saat-saat akhir 2-1 ke atas Sweden meninggalkan skuad kendalian Joachim Loew dalam keadaan bahaya untuk muncul selaku skuad Die Manchafts pertama tersingkir seawal pusingan pertama sejak 1938.

Jerman hanya mampu meneruskan kemaraan dengan kemenangan lebih daripada dua gol esok, namun keempat-empat pasukan masih boleh melayakkan diri daripada Kumpulan F, termasuk Korea Selatan yang masih belum memungut sebarang mata.

“Jerman adalah lebih kuat daripada kami, jadi ia bukannya mudah buat kami,” kata Shin. “Tetapi bola itu bulat, jadi saya fikir kami masih mempunyai peluang.

“Malah, tidak mengapa untuk kami kehilangan penguasaan bola berbanding Jerman selagi kami mampu melakar kejutan.

“Kami hanya mempunyai peluang sebanyak satu peratus. Ia akan menjadi lontaran dadu terakhir kami, tetapi sama ada kami pergi ke pusingan 16 terakhir atau tidak kami sedaya upaya akan memberi yang terbaik esok.”

Pemain sayap Tottenham, Son Heung-Min turut tidak menafikan peluang untuk pasukannya melakar kejutan.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya,” katanya apabila ditanya kemampuan Korea Selatan melakar kejutan. “Sudah tentu kami ingin melakukan yang terbaik.

“Mereka perlu menang dan kami juga sama. Mereka adalah juara dunia dan pasukan nombor satu dunia. Ramai orang yang beranggapan Mexico tidak boleh menumpaskan Jerman, jadi kami akan mencuba yang terbaik dan menerima sebarang keputusan esok.”

Untuk aksi terakhir kumpulan esok, Korea Selatan terpaksa turun tanpa kapten Ki Sung-Yueng yang beraksi buat Swansea akibat masalah kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 11:14 AM