FEDERER  dikalahkan Coric dalam perlawanan akhir di gelanggang rumput Halle hujung minggu lalu. FOTO/AFP
FEDERER dikalahkan Coric dalam perlawanan akhir di gelanggang rumput Halle hujung minggu lalu. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Selepas melihat musuh tradisi, Rafael Nadal mengukuhkan cengkaman di kejuaraan Roland Garros, Roger Federer menyasarkan untuk melakukan perkara sama di Wimbledon dengan memburu kejuaraan kesembilan sekali gus memahat namanya di All England Club.

Ketika usianya menjangkau 37 tahun dan dikalahkan Borna Coric dalam perlawanan akhir di gelanggang rumput Halle hujung minggu lalu, Federer akan memulakan aksi di Wimbledon sebagai pemain pilihan.

Federer berjaya mencatat rekod 12 bulan lalu apabila mengalahkan Marin Cilic dalam perlawanan akhir, seterusnya menjadi pemain tertua muncul juara dan yang pertama merangkul lapan kejuaraan.

Kejayaan itu terhasil apabila dia membuat keputusan tidak turun beraksi dalam semua kejohanan gelanggang tanah liat dan dia berada di rumah untuk melihat Nadal merangkul gelaran ke-11 Terbuka Perancis.

“Saya begitu teruja sekali apabila beraksi di Wimbledon namun usaha menjadi penyandang juara sentiasa menghadirkan tekanan,” kata Federer yang mahu melupakan segera kekalahan kepada Coric sekali gus menamatkan rekod kemenangan 20 permainan berturut-turut di gelanggang rumput.

Seminggu sebelum itu, dia sudah berada pada landasan terbaik apabila berjaya muncul juara di gelanggang rumput di Stuttgart.

“Tidak kisah sama ada saya juara atau kalah di Halle, saya tetap akan menjadi salah seorang pemain pilihan di Wimbledon,” katanya.

Federer meraih kejuaraan sulungnya di Wimbledon dan memecah kebuntuan Grand Slam pada 2003.

Sejak itu, dia berjaya menambah tujuh lagi kejuaraan manakala Nadal muncul juara sebanyak dua kali, diikuti Novak Djokovic (tiga kali) dan Andy Murray (dua kali).

Pada 2002, Lleyton Hewitt muncul pemain terakhir bukan dalam kalangan 'empat jaguh' yang meraih kejuaraan Wimbledon.

Setakat ini, Federer belum menunjukkan kehebatannya akan berakhir, malah mampu mengalahkan Nadal.

“Saya rasa Rafa adalah salah seorang pemain pilihan untuk muncul juara. Jika dia tidak berdepan masalah kecederaan, apa saja boleh berlaku,” kata Federer yang pernah tumpas kepada pemain Sepanyol itu pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 11:59 AM