SALAH (kiri) berbincang bersama rakan sepasukan ketika latihan. FOTO/AFP
SALAH (kiri) berbincang bersama rakan sepasukan ketika latihan. FOTO/AFP
Agensi

VOLGOGRAD: Persatuan Bolasepak Mesir (EFA) menegaskan tiada sebarang masalah antara mereka dan pemain bintang, Mohamed Salah walaupun terdapat laporan penyerang Liverpool berkenaan mahu meninggalkan skuad kebangsaan.

Terdapat laporan mendakwa pemain berusia 26 tahun itu menimbang masa depannya bersama skuad kebangsaan selepas wujud ketidaksefahaman dalam beberapa perkara.

Terbaru, Salah dilaporkan tidak gembira apabila gambarnya dirakam bersama pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov.

“Laporan yang mendakwa Salah mahu meninggalkan skuad kebangsaan adalah tidak benar,” menurut EFA.

“Mo masih bersama kami dan gembira bersama dalam kem. Dia makan dan gembira dengan rakan sepasukan. Dia menjalani latihan dengan baik dan ia bermakna tiada masalah.”

Gambar Salah dirakam bersama Kadyrov, yang didakwa menggunakan pemain bagi tujuan propaganda politik.

Mesir berpangkalan di Chechnya ketika Piala Dunia dan ejen Salah, Ramy Abbas pada Sabtu menerusi akaun Twitter menjelaskan dia “marah.”

Rejim Kadyrov dikritik kerana dakwaan pencabulan hak asasi manusia namun beliau menafikannya menerusi temuramah BBC minggu ini.

Salah turut berdepan isu dengan EFA berhubung hak imejnya pada April.

Dia berang apabila gambarnya digunakan untuk penaja rasmi, WE sedangkan dia mempunyai perjanjian penajaan dengan seteru firma komunikasi, Vodafone. Tweet Salah dalam bahasa Arab menyebut, “Maaf namun ini adalah kesilapan besar.”

Dia terlepas aksi pembukaan Piala Dunia menentang Uruguay kerana masih dalam proses pemulihan kecederaan bahu namun kembali untuk aksi menentang Russia untuk menjaringkan gol penalti ketika tewas 1-3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 1:22 PM